Selasa, 14 March 2017 | 6:45am

Menyempurna agenda transformasi

UNIT Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) ditubuhkan kerajaan pada 2009 dengan dua matlamat jelas - memacu transformasi Malaysia kepada status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan menyempurnakan amanah ini hingga selesai. Sejak awal, saya nyatakan, PEMANDU ternyata berjaya apabila kami tidak lagi diperlukan, yakni, apabila penjawat awam sudah bersedia menggalas tugas menerajui transformasi Malaysia.

Dari awal lagi juga kami nyatakan sejelas mungkin tanggungjawab PEMANDU terhadap Program Transformasi Negara (NTP) hanya akan diserahkan apabila semuanya tampak 'bersedia', yakni potensi penjawat awam melaksanakan sendiri inisiatif NTP sudah ketara.

Pada 2016, ketika pelaksanaan NTP menjangkau tujuh tahun dan kini menampakkan keberhasilannya secara berterusan, nyatalah masanya sudah tiba PEMANDU mengamanahkan pelaksanaan NTP kepada penjawat awam. Justeru, pada 23 Januari lalu, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan titik permulaan peralihan ini yang akan dilakukan dalam tempoh dua tahun.

Kami menjadualkan peralihan ini kepada tiga kategori. Pertama, membabitkan tugasan yang sedia diserahkan serta-merta kepada penjawat awam tanpa memerlukan tempoh peralihan. Penyerahan ini selesai pada 1 Mac lalu. Kedua, sebahagian tugas NTP diambil alih penjawat awam secara berperingkat.

Pengambilalihan itu memakan masa dua tahun dan PEMANDU akan terus menyokong penjawat awam dalam pengendalian aktiviti NTP sehingga mereka cukup bersedia daripada aspek pembangunan kapasiti agar penyerahan sepenuhnya dapat dilakukan pada tahun ketiga. Dalam tempoh itu, PEMANDU akan menyediakan 45 petugas untuk menyokong perkhidmatan awam pada tahun ini. Bilangan petugas dikurangkan kepada 30 pada 2018 sehingga tiada keperluan sokongan lagi daripada PEMANDU pada 2019.

Kunci kejayaan

Kategori ketiga, membabitkan tugasan yang memerlukan koordinasi NTP selepas pengambilalihan penjawat awam. PEMANDU bakal menyerahkan aktiviti penyelarasan ini kepada Unit Penyampaian Perkhidmatan Awam di bawah Unit Perancang Ekonomi.

Kunci kejayaan pengambilalihan ini adalah memastikan penyerahan secara teratur. Dalam tempoh tujuh tahun lalu, kami berganding rapat dengan penjawat awam agar proses baharu yang diperkenalkan dapat diterapkan, sekali gus memastikan pelaksanaan setiap inisiatif NTP secara konsisten.

Namun, di sebalik pembaharuan secara beransur-ansur ini, masih ada segelintir penjawat awam belum menerima pakai kaedah baharu. Oleh itu, ada dua kaedah pelaksanaan dalam kalangan penjawat awam ketika ini - cara lama dan baharu.

Bersandarkan garis masa peralihan ditetapkan menjelang Februari 2019, pastinya kritikal agar penjawat awam memberi ruang untuk permulaan baharu ini bagi memastikan Malaysia berhasil mencapai aspirasi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Saya perjelaskan di sini mengapa kami sepakat berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk melakukan peralihan ini. Sejak permulaan NTP, kami komited kepada tujuan mutlak kami; merealisasikan pendapatan kasar nasional (GNI) perkapita negara berpendapatan tinggi seperti ketetapan Bank Dunia, membuka peluang pekerjaan dan menjana pelaburan.

Menurut data terbaru Bank Dunia, GNI perkapita Malaysia pada 2015 ialah AS$10,570 (RM47,068), hanya 15 peratus di bawah paras pendapatan tinggi semasa iaitu AS$12,475 (RM55,551) berbanding dengan GNI perkapita negara pada 2010 yang hanya mencecah AS$8,280 (RM36,870) dengan jurang 33 peratus daripada paras pendapatan tinggi ketika itu, yang bersamaan AS$12,276.

Tingkat pelaburan swasta

Kita juga mencetuskan pertumbuhan 2.2 kali ganda dalam pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) pelaburan swasta, berbanding CAGR antara 2006 hingga 2010 iaitu hanya lima peratus. Malah, antara 2011 hingga 2015, pelaburan swasta mencatat CAGR 12.1 peratus. Data itu membuktikan kita melangkaui separuh perjalanan ke arah status pendapatan tinggi dan tepat atas landasan untuk mencapai matlamat negara maju menjelang 2020.

Lebih penting, dengan NTP, kami membantu mengangkat pendapatan rakyat Malaysia secara inklusif menerusi pelbagai inisiatif termasuk pembinaan 5,286 kilometer jalan di pedalaman untuk manfaat 3.5 juta penduduk, penyambungan bekalan elektrik ke pedalaman untuk 144,025 rumah yang memanfaatkan 720,125 rakyat, pembekalan air bersih untuk 1.68 juta penduduk di 334,593 rumah pedalaman dan baik pulih 79,137 rumah untuk manfaat 412,360 rakyat.

Dengan hanya tiga tahun lagi sebelum mencecah garis penamat, apatah lagi, melihatkan kadar pencapaian pantas yang diraih tujuh tahun lalu, saya yakin kemampuan penjawat awam untuk menyempurnakan agenda transformasi negara.

Dengan bermula peralihan ini, berakhirlah sudah ruangan Trans-formation Unplugged saya di sini. PEMANDU sebagai organisasi akan memulakan perjalanan baharu sebagai firma perunding global yang berfokuskan transformasi kerajaan dan pembaharuan perniagaan.

Bagi pihak PEMANDU, saya ingin merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang telah berganding bahu bersama kami selama tujuh tahun ini. Saya juga ingin memanjangkan sekalung terima kasih kepada semua pembaca ruangan saya selama ini.

Sekalung budi saya ucapkan kepada Perdana Menteri dan penjawat awam atas komitmen dan kerjasama mereka yang begitu gigih melaksanakan NTP. Saya amat berbesar hati kerana dapat mengatur langkah seterusnya dengan mereka dalam meniti perjalanan baharu dalam tempoh dua tahun akan datang.

Akhir kata, saya harap dapat bertemu semua pembaca pada Forum Transformasi Global 22 hingga 23 Mac ini. Malaysia menjadi tuan rumah sekali lagi untuk membawakan tokoh transformasi tersohor dari setiap pelosok dunia demi membangkitkan semangat warga Malaysia. Minda celik transformasi yang bakal pembaca alami pastinya membuahkan pencerahan dan inspirasi ke arah pembaharuan minda, sekali gus mencetuskan transformasi perjalanan anda sendiri.

Berita Harian X