Selasa, 14 March 2017 | 10:41am

United hanya tahu sepak pemain Chelsea: Conte


PENGURUS Chelsea, Antonio Conte (kanan) bertelagah dengan pengurus Manchester United, Jose Mourinho. - Foto Reuters

LONDON: Antonio Conte mendakwa pemain Manchester United hadir ke Stamford Bridge bukannya untuk bermain bola sepak tetapi mahu membelasah dan menyepak pemain Chelsea dalam aksi yang penuh tegang ketika saingan suku akhir Piala FA, pagi tadi.

Pengurus Chelsea itu mengkritik aksi kasar yang penuh dengan terjahan keras ketika pasukannya menyingkirkan skuad bimbingan Jose Mourinho 1-0 hasil jaringan N'Golo Kante untuk layak ke separuh akhir.

Perlawanan itu juga menyaksikan Conte beberapa kali bertelagah dengan Mourinho sehingga terpaksa ditenangkan pegawai keempat perlawanan.

Bahkan, dalam keadaan marah, Mourinho dilihat menyepak bola ke arah Conte menyebabkan kedua-dua pengurus itu sekali lagi bertelagah ketika Ander Herrera dilayangkan kad merah pada minit ke-35 kerana menjatuhkan Eden Hazard.

Kemarahan Mourinho memuncak kerana mendakwa Conte mahukan pengadil melayangkan kad merah kepada Herrera kerana mengasari pemainnya.

"Untuk 20 hingga 25 minit, memang mustahil Hazard untuk bermain bola sepak. Saya hanya nampak dia menerima banyak sepakan, terjahan. Tetapi, saya rasa saya tidak gila, saya nampak jelas situasi ini.

"Dia memulakan aksi dengan menerima sepakan dan menamatkan saingan dengan menerima sepakan. Tiada siapa yang boleh boleh menafikan perkara ini tidak berlaku.

"Apa taktik United?. Saya tidak tahu. Tetapi taktik ini...bermain untuk menyepak pemain lain memang tidak ada. Bagi saya, itu bukannya bola sepak.

"Saya tidak fikir itu boleh dianggap taktik. Itulah kebenarannya. Semua orang melihatnya. Kadang kala saya fikir, apabila kamu menentang pemain yang hebat, kami akan cuba menjatuhkan pemain ini.

"Pengadil mesti melindungi pemain seperti ini," katanya yang turut membidas tindakan Marcos Rojo yag memijak Hazard di babak kedua perlawanan.

Pertelingkahan kedua dua pengurus itu menyaksikan mereka tidak bersalaman selepas permainan tetapi kemudian dilihat bercakap antara satu sama lain ketika berada di terowong.

"Saya rasa pegawai keempat perlawanan melakukan tugasnya dengan baik," kata Conte. "Apa yang penting ialah apa yang berlaku di padang. Bagi saya, apa yang berlaku di luar (padang), itu adalah sarkas," katanya. - Reuters/AFP

131 dibaca
Berita Harian X