Selasa, 14 March 2017 | 11:38am

Iriz tidak mengecewakan


MASIH mampu tarik minat pembeli selepas dua tahun di pasaran. - Foto Muhd Asyraf Sawal

MELIHAT kepada rekaan Proton Iriz, model keluaran PROTON Holdings Bhd sebenarnya tiada kekurangan dan ia seperti kereta kompak jenama lain yang mampu menarik minat pembeli.

Peluang BH Auto memandu uji model Iriz Premium 1.6 yang dilancarkan September 2014 itu sedikit sebanyak memberi ruang kepada penulis menghayati produk automotif keluaran nasional.

Menyentuh kepada rekaan luaran, Iriz menampilkan susuk yang 'boleh tahan' menarik dengan gaya kompak yang 'up-to-date'.

Ditambah lagi dengan aspek keselamatan canggih yang berjaya meletakkan Iriz di tahap lima bintang dalam ujian keselamatan Asean NCAP.

Dari segi pemanduan dan kawalan, ternyata Iriz tidak mengecewakan kerana penulis cukup selesa memandu model kompak ini menyusuri Lebuhraya KL-Seremban menghala ke persimpangan UPM.

Jika ada kekurangan pun, ia terlalu sedikit dan semestinya masih ada ruang untuk pembaikan.

Jika memandu lebih laju, salah satu tayar dirasa kurang cengkaman, pengawal sistem keselamatan Vehicle Dynamic Control (VDC) akan 'campur tangan' untuk mengelakkan 'understeer' atau 'oversteer' dan memastikan kenderaan masih boleh dikawal.


ENJIN: 1,597cc, empat silinder sebaris, VVT. - Foto Muhd Asyraf Sawal


PROTON Iriz dilengkapi dengan ciri dan aspek keselamatan canggih. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Selain itu, tindak balas serapan suspensi juga menghasilkan rasa lega, bermaksud penumpang yang di dalamnya tidak akan begitu terkesan dengan hentakan, selain bunyi yang senyap apabila melalui jalan tidak rata atau bonggol seperti di kawasan perumahan.

Dengan tetapan yang sama juga, suspensi ini masih boleh bertahan dengan pemanduan agresif tanpa mengakibatkan banyak hayunan.

Dari segi prestasi, Iriz Premium yang menggunakan enjin 1,597cc ini menghasilkan kuasa yang mencukupi dalam pelbagai keadaan, termasuk selamat sewaktu memotong kenderaan lain.

Namun bagi mereka yang lebih biasa dengan kelajuan tinggi dan gemar memotong secara pantas, pedal mungkin terpaksa ditekan sehingga ke lantai dan pada waktu itu 'jeritan' enjin akan jelas kedengaran.

Bagi varian CVT ini juga, pemandu perlu membiasakan diri dengan tujahan yang dihasilkan kerana tidak terdapat pilihan mod gear + - atau pedal di belakang stereng.

Aspek dalaman pula menampilkan rekaan menyenangkan dan terasa eksklusif hasil penggunaan bahan serta rekaan yang berkualiti yang kebanyakannya berwarna hitam.

Lebih menarik, varian premium ini didatangkan dengan tempat duduk serta roda sterengnya dibalut dengan kulit.


RUANG dalaman menampilkan rekaan menyenangkan dan eksklusif. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Info:

SPESIFIKASI

Proton Iriz Premium 1.6

* Enjin: 1,597cc, empat silinder sebaris, VVT

* Transmisi: CVT

* Kuasa maksimum: 107hp @ 5,750rpm

* Tork maksimum: 150Nm @ 4,000rpm

* Ciri keselamatan: Vehicle Dynamic Control (ABS, EBD, BA, ESC, TC), Hill Hold Assist, beg udara berkembar hadapan, beg udara sisi, beg udara bidai, cermin kuasa anti kepit, kamera belakang, pengesan undur, Immobiliser

* Harga: dari RM41,520.

34 dibaca
Berita Harian X