Selasa, 14 March 2017 | 12:50pm

Bahan kimia bocor kemalangan 2 lori


SEBUAH lori yang membawa pelbagai tong cecair kimia mudah terbakar terbabas dan mengakibatkan tumpahan bahan kimia di kilometer 396.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan. - Foto ihsan Bomba

TANJUNG MALIM: Sebuah lori yang membawa pelbagai tong cecair kimia mudah terbakar terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori lain hingga mengakibatkan tumpahan bahan kimia di Kilometer 396.3, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, awal pagi tadi.

Komander Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Perak, Mohamed Khariri Ahmad Shaibi berkata, Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan pada jam 3.57 pagi.

Katanya, sebaik pasukan HAZMAT tiba di lokasi, anggota membuat kawalan penutupan 30 meter laluan bagi mengesan tahap bahaya bahan kimia berkenaan.

"Kami dapati lori membawa kira-kira 50 tong pelbagai jenis bahan kimia mudah terbakar dan kesan daripada rempuhan pada lori lain yang diparkir di bahu jalan mengakibatkan salah satu tong berisi bahan kimia Solbrite dengan isi padu 25 liter pecah dan tumpah di dalam lori dan sedikit di bahu jalan.

"Ketika pasukan tiba di lokasi, bahan kimia didapati sudah kering dengan sendirinya dan selamat dari kejadian lebih berbahaya," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, anggota membantu memunggah tong kimia ke tempat lebih selamat. Katanya, kimia jenis cecair mudah bertukar kepada wap dan kemudian gas apabila terdedah kepada udara serta boleh meletup.

"Sekiranya cecair terkena secara terus dengan manusia, ia boleh menyebabkan sesak nafas, gatal kulit dan pedih mata," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dimaklumkan kejadian itu.

Katanya, kejadian turut menyebabkan dua individu dipercayai berada dalam lori membawa bahan kimia itu cedera.

53 dibaca
Berita Harian X