Ahad, 26 Mac 2017 - 5:07PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Mazda bangun enjin jimat 30% petrol


MAZDA CX-5, antara model terbaharu yang dipamerkan pada Pameran Motor Antarabangsa Ke-87 di Palexpo, Geneva, Switzerland pada awal bulan ini. - Foto Reuters

TOKYO: Mazda Motor bakal memperkenalkan enjin baharunya penghujung 2018 yang menawarkan kecekapan bahan api 30 peratus lebih baik dengan menggunakan tekanan untuk menyalakan bahan api.

Pengeluar kenderaan dari Jepun itu berkata, enjin baharunya itu menjadi teknologi pertama seumpamanya yang dikenali sebagai caj pencucuhan mampat homogen.

Walaupun Mazda sedang membangunkan kenderaan elektrik mesra alam, syarikat itu mengambil kira majoriti kenderaan yang masih menggunakan enjin pembakaran dalaman.

Mazda merancang menggunakan enjin baharunya itu pada model Mazda3, yang akan menjalani baik pulih pertama dalam tempoh lima tahun.

Enjin generasi kedua teknologi mesra alam SKYACTIV itu akan diguna pakai secara beransur-ansur untuk model kenderaan lain.

Enjin baharu itu menyalakan campuran bahan api dan udara dengan menukarnya menjadi tekanan, menjadikan pembakaran lebih cekap berbanding enjin konvensional menggunakan palam pencucuh, selain mengurangkan pelepasan ekzos.

Penggunaan enjin baharu pada model Mazda3 itu dijangka mampu memberikan penjimatan sehingga 30 kilometer perjalanan bagi seliter bahan api.

Mazda akan mengeluarkan kenderaan elektrik menjelang 2019 dan merancang untuk mempunyai plug-in hibrid pada 2021.

Syarikat itu menyasarkan pasaran Amerika Syarikat dan Eropah yang banyak menumpukan kepada peraturan alam sekitar, namun turut merancang untuk menggunakan enjin baharunya itu bagi pasaran global termasuk negara membangun menjelang tahun 2030.


Trending

    Disyorkan