Selasa, 14 March 2017 | 6:08pm

Dua sahabat didakwa rogol gadis 15 tahun

KUALA TERENGGANU: Dua sahabat masing-masing berusia 19 dan 18 tahun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang gadis berusia 15 tahun, Mac tahun lalu.

Dua remaja berkenaan yang masing-masing berasal dari Jalan Haji Wan Latif, Jertih dan Kampung Padang Landak, Jertih, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh berusia 19 tahun didakwa merogol seorang gadis yang ketika itu berusia 15 tahun di belakang bangunan lot kedai tiga tingkat di Jalan Pasar, Jertih, Besut, antara jam 6 hingga 7 petang pada 26 Mac 2016.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama di dalam sebuah bilik di dalam lot kedai sama juga antara jam 6 hingga 7 petang hari sama.

Tertuduh berusia 18 tahun pula didakwa merogol mangsa di dalam sebuah bilik di dalam lot kedai sama, juga antara jam 6 hingga 7 petang pada hari sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan.

Rofiah kemudian membenarkan tertuduh berusia 19 tahun diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, manakala tertuduh kedua dibenarkan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 17 April ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

78 dibaca
Berita Harian X