Rabu, 15 March 2017 | 6:23am
KERATAN akhbar BH.

Diplomasi harmoni selesai isu Malaysia-Korea Utara

KOREA Utara membuat kesilapan nyata apabila membuat tuntutan tidak munasabah kepada Kerajaan Malaysia dalam isu pembunuhan Kim Jong-nam apabila meminta supaya pihak berkuasa Malaysia tidak meneruskan siasatan kes, menyerahkan mayat mangsa atas alasan mangsa hanya mati mengejut.

Ini tidak boleh kita terima kerana kita perlu berpegang teguh sebagai sebuah negara berdaulat berpaksikan kepada kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. Korea Utara perlu faham bahawa apa yang terjadi di Malaysia adalah kes bunuh dan bukan kes mati mengejut yang biasa seperti kemalangan dan sebagainya. Ini memerlukan siasatan terperinci selaras dengan asas negara ini yang menegakkan kebenaran melalui proses undang undang.

Dalam meleraikan keserabutan yang memuncak di antara Malaysia dan Korea Utara, Kerajaan Malaysia perlu bertindak dengan lebih tegas, namun dengan metodologi amat teliti dalam membuat keputusan dan mencari jalan terbaik membebaskan rakyat Malaysia di Korea Utara dalam masa sama memperbaiki hubungan antara kerajaan dua negara. Pada masa sama kita perlu tekankan bahawa kedaulatan negara Malaysia bukan sesuatu yang boleh diperkotak-katikkan.

Rundingan dua hala

Dalam hubungan antarabangsa, penting untuk sesebuah negara memahami bahawa asas perhubungan antara negara adalah berdasarkan kepercayaan dan kebijaksanaan pemimpin dalam menentu atur gerak politik dan percaturan diplomasi serantau. Bagi Malaysia, kita memilih untuk menyelesaikan masalah yang timbul antara negara melalui cara lebih halus seperti rundingan dua hala dan dialog antara negara.

Saya yakin dan percaya bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan bertindak dengan bijaksana menyelesaikan kemelut ini selepas diplomasi Kerajaan Malaysia terbukti berkesan dalam beberapa peristiwa lampau seperti tuntutan jenazah MH17 dan rundingan tebusan dengan kumpulan Abu Sayyaf.

Oleh itu, rakyat Malaysia perlu berlapang dada dan memberi kepercayaan kepada barisan kepemimpinan kerajaan dalam membawa pulang rakyat kita di Korea Utara.

Kita menolak pendekatan yang ganas dan bersifat membuli seperti pendekatan ketenteraan yang boleh mengakibatkan kesan teruk dan merugikan banyak pihak. Rundingan diplomasi sama ada secara langsung atau tidak adalah amat perlu dalam menangani isu sensitif seperti ini apabila ia babit negara yang bersandarkan provokasi dan propaganda seperti Korea Utara.

Sebagai rakyat yang sayangkan negara, jangan kita semua mengambil langkah yang memburuk-burukkan imej negara sendiri seperti menyebarkan bahawa Malaysia akan dimusnahkan dengan serangan nuklear dan kita bakal menghadapi peperangan dan sebagainya.

Persepsi burukkan keadaan

Persepsi sebegini hanya akan memburukkan lagi keadaan semasa yang sememangnya tertekan dan keadaan ini memerlukan langkah balas yang bijaksana dalam menolak kejadian yang buruk sekali gus memberi manfaat bagi kedua-dua negara yang terbabit.

Kejadian bunuh Jong-nam menjadi petunjuk kematangan kerajaan menguruskan hal ehwal antarabangsa secara bijaksana. Menyingkap sejarah hubungan baik Malaysia dengan Korea Utara yang terjalin hampir 40 tahun, kedua-dua negara tahu bahawa memutuskan hubungan hanya akan beri kesan berpanjangan, terutama Korea Utara yang sememangnya terpencil daripada warga dunia dan banyak sekatan ekonomi dikenakan ke atasnya. Malaysia perlu desak Korea Utara membebaskan rakyatnya, sekali gus menjadi tukaran bagi rakyat mereka yang berada di sini.

Dari sudut lain, Korea Utara dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai kuasa nuklear dan akan menyerang sesiapa sahaja yang dirasakan menjadi ancaman bagi mereka. Dalam hubungan antarabangsa, adalah amat penting untuk dunia ini distabilkan penguasaannya dalam konsep keseimbangan kuasa antara kuasa dunia. Hal ini terjadi dalam kalangan watak yang memiliki pengaruh antarabangsa iaitu mereka yang memiliki kuasa ekonomi politik dan semestinya nuklear.

Korea Utara mungkin boleh menempelak negara lain yang tidak memiliki nuklear dengan mengugut melancarkan nuklear ke negara berkenaan akan tetapi jika keadaan tersebut berlaku adakah negara besar yang lain akan mendiamkan diri jika ia membabitkan kepentingan mereka dalam negara yang terbabit.

Dengan sumber terhad dan kebergantungan kepada populariti daripada agenda propaganda hipokrit semata-mata, Korea Utara sedar mereka memerlukan rakan, terutama dalam memastikan kelangsungan dari segi pembangunan ekonomi dan jaringan dagang terus berlaku.

Sebagai contoh, tindakan China menggantung eksport arang batu ke Korea Utara dilihat sebagai langkah bijak dalam mematuhi sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertujuan menghentikan program pembangunan nuklear dan peluru berpandu balistik di Korea Utara. Tindakan China itu semestinya memberi kesan mendalam, terutama dalam isu kewangan negara Korea Utara.

Perlu berani, lantang

Sebagai negara yang berdaulat, Malaysia perlu berani dan lantang dalam usaha membawa pulang rakyat kita di Korea Utara. Kerjasama dan sokongan negara serantau dan antarabangsa yang berpengaruh juga mampu memainkan peranan penting dalam memberi tekanan kepada Korea Utara. PBB perlu melihat hal ini sebagai pencabulan nyata Korea Utara terhadap resolusi menekankan keamanan dan keharmonian antara negara.

Oleh yang demikian, bersamalah kita bersatu hati sebagai rakyat Malaysia dengan meletakkan kepercayaan tertinggi kepada pimpinan negara membawa pulang semua sahabat dan keluarga yang terperangkap di Korea Utara.

Marilah kita berdoa agar urusan membawa pulang mereka dipermudahkan seterusnya merintis sebuah lagi kejayaan bagi Malaysia dalam menerajui asas diplomasi harmoni antara negara di pentas dunia.

159 dibaca
Berita Harian X