Rabu, 15 March 2017 | 12:36pm

Levante masuk pasaran Malaysia


MASERATI Levante tampil sebagai SUV mewah dengan enjin diesel.

NAZA Italia, pengimport dan pengedar rasmi kenderaan jenama Maserati, memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama jentera dari Itali, Levante untuk pasaran Malaysia.

Sejak dipertontonkan Ogos lalu, Maserati Levante kini boleh didapati di pasaran domestik menerusi penawaran enjin diesel yang dijual pada harga bermula RM888,800 (termasuk cukai tempatan dan duti).

Pengerusi Eksekutif NAZA World Group, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, berkata pertama kali memasuki segmen SUV, Maserati Levante memberi impak menarik di mana kuasanya melepasi jangkaan.

"Ia adalah usaha terkini memasuki pasaran yang belum pernah diterokai di Malaysia. Kami menjangkakan model yang dinanti-nantikan ini akan memberi persaingan dalam industri automotif mewah di negara ini," katanya.

Levante adalah berdasarkan kepada evolusi platform sedan Maserati yang memberikannya pengendalian yang lancar dan ciri halus salun jenama itu di atas jalan raya, malah membuktikan kehebatannya apabila menyusuri laluan tidak rata.

Dengan gabungan optimum gaya, rekaan ekslusif dan prestasi menakjubkan, ia menjadikan SUV gaya coupe pertama Maserati itu tampil dengan kombinasi 'cantik' antara fleksibiliti dan kuasa Itali klasik, selaras dengan produk terkini Maserati.

Levante dilengkapi dengan evolusi enjin terkini Maserati 3-liter V6 yang mampu menghasilkan 275 kuasa kuda (hp) dan memacu 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 6.9 saat.

Meskipun mampu mencecah kelajuan maksimum 230 km/j, Levante masih mampu mengekalkan tahap kecekapan bahan api serendah 7.2 liter bagi setiap 100 kilometer (km).

Levante turut didatangkan dengan kotak gear automatik ZF lapan kelajuan yang menghasilkan kuasa pertukaran gear pantas dan pemanduan selesa bergantung kepada mod pemanduan iaitu "Normal", I.C.E., "Sport" dan "Off-road", di mana mode berkenaan menawarkan hasil karektor yang berbeza berdasarkan fungsi enjin, suspensi dan elektronik.

Dari segi rekaan, Levante mempamerkan reka bentuk sama dengan model lain dalam keluarga Maserati yang mana lencana pada gril radiator yang nipis, lampu tirus menguasai bahagian depan.

Tidak hanya rekaan khas untuk kereta sport berprestasi tinggi, Levante yang menonjolkan kecekapan aerodinamik menerusi teknologi Cx yang semestinya menawarkan ruang yang terbaik dalam kelasnya, yang dicipta untuk kemewahan dan keselesaan.

Info:
Maserati Levante

  • Enjin Turbodiesel 600 V6 common rail
  • 2,987cc
  • Kuasa maksimum 275hp @ 4,000rpm
  • Tork puncak 600Nm @ 2,000 - 2,600rpm
  • Penggunaan bahan api 7.2 liter/100km
  • 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat
  • Kelajuan maksimum 230 km/j
  • Kotak gear transmisi 8-kelajuan automatik ZF AT8 - HP70
Berita Harian X