Sabtu, 24 Jun 2017 - 6:29AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

City baharu diiktiraf Kenderaan Cekap Tenaga

Oleh Shahrizan Salian



CITY baharu ditawarkan dengan tiga varian.

KEMUNCULAN model Honda City di negara ini sejak 2003, menjadi pencetus kepada kebangkitan hebat jenama Honda sehingga membolehkan ia muncul peneraju segmen kereta bukan nasional tempatan tahun lalu.

Minggu lalu, Honda Malaysia meneruskan momentum itu dengan meningkatkan penanda aras pasaran automotif tempatan apabila memperkenalkan City baharu yang menjadi peneraju segmen sedan-B di negara ini.

Honda Malaysia mengumumkan tiada peningkatan harga bagi model City 2017.

Ditawarkan pada harga atas jalan - RM78,300 bagi varian S (yang dipertingkatkan dari varian S+ pada model terdahulu dan harganya dikurangkan sebanyak RM1,000), varian E RM84,600 dan RM92,000 untuk model spesifikasi tertinggi, V.

Semua varian City 2017 turut menerima penarafan lima-bintang bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) dan empat-bintang untuk Perlindungan penumpang Kanak-kanak (COP) daripada ASEAN NCAP.

Tiada perubahan mekanikal ditampilkan yang mana City masih dijana enjin 1.5L SOHC i-VTEC empat-silinder berkuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksimum 145 Nm pada takat 4,600 rpm yang digandingkan dengan sistem transmisi CVT.


BAHAGIAN belakang yang menawan.

City 2017 turut diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), dan Honda mendakwa, ia menawarkan penjimatan bahan api luar biasa dengan anggaran 5.7 liter bagi setiap 100 kilometer.

Ruang dalaman City baharu dibangunkan di bawah prinsip reka bentuk Honda iaitu "Max Maximum, Machine Minimum", yang memaksimumkan ruang untuk pemandu, penumpang dan kargo.

City generasi keempat adalah satu contoh keselesaan terbaik yang mampu menyaingi sehingga model segmen-D. Ruang kargo 536 liter bukan saja lebih besar daripada model segmen-C, malah setanding dengan sedan segmen-D.

Dari segi praktikal, tempat duduk belakang City baharu boleh dilipat pada konfigurasi 60:40 untuk menawarkan kemudahan kepada pemilik dalam apa juga keadaan, seterusnya membuatkan City seperti sedan yang memiliki utiliti sebuah hatchback.

City generasi keempat ini menetapkan penanda aras dari segi keluasan menerusi "ruang segmen-D pada saiz segmen B".


RUANG kargo lebih luas.


DILENGKAPI ciri dan peralatan terkini.

Bagi mengukuhkan lagi kedudukan City sebagai peneraju dalam segmennya dari segi keselamatan, Honda Malaysia memperkenalkan Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) sebagai ciri keselamatan standard bagi semua varian.

Bukan itu saja, Sistem Kemasukan Pintar dengan Butang Penghidup Enjin, Lampu Pencahayaan Siang (DRL) LED, Cermin Sisi Boleh Lipat Automatik dan Rim Aloi Dua Tona juga menjadi ciri standard pada semua varian.

Untuk varian spesifikasi paling tinggi V, pelbagai ciri bernilai tambah seperti Lampu Depan LED dengan LED DRL, Lampu Kabus Hadapan LED, Lampu Belakang LED dan "Spoiler Ducktail" bersama Lampu Brek LED disertakan.

Varian ini juga didatangkan dengan tempat duduk kulit dan lapan unit pembesar suara untuk memberikan pengalaman seperti di dalam sebuah sedan premium.

Pedal penukar gear dan kawalan jelajah atau "cruise control" meningkatkan lagi kenikmatan pemanduan untuk pemilik City, manakala kamera undur pelbagai sudut memberi lebih keselesaan kepada pemandunya.

Enam beg udara pula dapat memberikan ketenangan ketika memandu.

Secara keseluruhan, pemilik City baharu dapat menikmati pelbagai ciri segmen-C di dalam kenderaan segmen-B mereka.

Semua ciri baharu ini adalah tambahan kepada aspek keselamatan, keluasan dan fungsi luar biasa yang terdapat pada City generasi keempat.


RUANG dalaman yang elegan dan selesa.

City baharu didatangkan dengan banyak penambahbaikan dan ciri standard canggih yang ditawarkan pada ketiga-tiga varian iaitu S, E dan V. Varian S adalah naik taraf kepada varian S+ sebelum ini.

Bagi memberikan sentuhan lebih sporty dan individu, Honda Malaysia menawarkan Pakej Aksesori Tulen Honda untuk City baharu pada harga bermula RM820.

Jaminan untuk City baharu dikekalkan lima tahun dengan perbatuan tanpa had dan selang servis 10,000 kilometer boleh dibuat di mana-mana 88 pengedar Honda di seluruh negara.

Honda Malaysia juga akan memberi ganjaran kepada pelanggan, terutama pemilik City baharu menerusi promosi jualan, servis dan alat ganti (3S, mereka boleh menikmati servis alat ganti serta buruh percuma selama dua tahun.

Promosi 3S juga layak untuk semua kenderaan baharu Honda yang didaftarkan menerusi 88 pengedar sah Honda mulai 1 Mac hingga 30 April 2017.

City baharu didatangkan dalam lima warna iaitu perak (Lunar Silver Metallic), merah (Dark Ruby Red Pearl), putih (Tafetta White), kelabu (Modern Steel Metallic) dan hitam (Crystal Black Pearl).

SPESIFIKASI

Enjin: 4 silinder, 16 injap, SOHC i-VTEC

Kapasiti: 1,497 cc

Sistem bekalan bahan api: Electronic Fuel Injection (PGM-FI)

Kuasa maksimum: 120 (88)@6,600

Tork maksimum: 145 (14.8)@4,600

Transmisi: CVT

Sistem suspensi: MacPherson Strut (Depan) dan Torsion Beam (Belakang)

Dimensi: (Panjang x Lebar x Tinggi): 4,442 x 1,694, 1,477

Kapasiti but: 536 liter

Kapasiti tangki: 40 liter


Trending

    Disyorkan