Jumaat, 23 Jun 2017 - 11:37PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Mantapkan pentadbiran berasas suara rakyat Perak


ZAMBRY bersama peserta acara menangkap keli dan itik di Bendang Senin, Kampung Senin Layang Layang Kanan pada Pemukiman Perak Tengah Bersama Menteri Besar Perak, baru-baru ini. - Foto Muhaizan Yahya

SELEPAS lima siri diadakan, Program Pemukiman Menteri Besar Perak siri keenam diadakan di Daerah Perak Tengah bermula pada 7 Mac dan berakhir 11 Mac lalu.

Program selama lima hari itu membawa Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan ketua jabatan berkumpul di daerah berkenaan untuk turun padang berjumpa rakyat setempat seawal jam 7 pagi membawa hingga ke tengah malam.

Ikuti ulasan Dr Zambry berhubung pelaksanaan program itu yang mengandungi objektif dan harapan beliau serta kerajaan negeri merealisasikan konsep Perak Amanjaya menerusi temu bual bersama wartawan BH, MOHD ANWAR PATHO ROHMAN.

S: Apakah objektif utama program ini Datuk Seri?

J: Ia satu program turun padang yang dimulakan pada 2009. Ketika itu kami menyedari akan perlunya satu program baharu untuk mewujudkan hubungan istimewa dengan rakyat. Pada masa itu, Perak berdepan konflik dan krisis, maka kami perlu bekerja untuk mengembalikan semula sokongan rakyat. Maka program mendekati rakyat perlu dilakukan, justeru, tercetuslah program pemukiman ini. Ia dimulakan dengan program 3F iaitu Field (turun padang), Feel (fahami denyut nadi rakyat) and Fill (penuhi keperluan rakyat dengan jalan penyelesaian). Berdasarkan pengalaman ini, kami perbaiki kelemahan dan kekurangan. Ini bukan perkara baharu, kami sudah lakukan bagi meneruskan momentum selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Kita teruskan program ini tanpa menunggu demam PRU akan datang.

S: Kali pertama program seumpama ini diadakan ialah menerusi Klinik Dr Zambry. Apa maklum balas mereka yang terbabit dengan program ini?

J: Mereka yang menyertai program ini mula memahami masalah sebenar yang dihadapi masyarakat. Isu dan masalah penyampaian awam perlu dikaji semula. Dari situ, kami belajar untuk memperbaiki program berkenaan dan tampil dengan program baharu. Ini tindakan proaktif kami untuk bertemu rakyat secara terus, dengar masalah mereka dan cari jalan penyelesaian untuk mengatasinya. Ini memerlukan tindakan dan pemikiran kreatif kerana kita tidak boleh terlalu bergantung kepada prosedur operasi piawai (SOP), tetapi perlu lebih anjal.

S: Apakah isu atau masalah yang sering dibangkitkan rakyat?

J: Ia bergantung kepada kawasan mana yang kita pergi. Ada daerah yang membangkitkan masalah banjir, isu kelewatan memproses urusan pindah milik tanah dan sebagainya.

S: Setakat ini tidak ada negeri lain melakukan program sama seperti di Perak. Bagaimana Datuk Seri menguruskannya?

J: Dalam pentadbiran saya, saya selalu bertanya kepada diri sendiri, apa isu yang saya lihat, dalam pentadbiran saya, saya mengelak untuk berasa selesa. Sekarang kami perlu bekerja dalam suasana terbuka, membenarkan rakyat bersuara tetapi bersistem. Kami perlu tahu apa yang berlaku dan cari jalan terbaik untuk mengatasinya. Itu sebab saya melaksanakan langkah melonggarkan sedikit prosedur untuk menyelesaikan sesuatu masalah agar tidak memakan masa lama dan memudahkan rakyat. Saya guna pendekatan yang objektif. Saya mahu semua jabatan bekerja dalam satu pasukan dan berkhidmat secara bersepadu walaupun ada halangan bidang kuasa. Untuk itu, saya wujudkan suasana mesra dengan penjawat awam tanpa mengorbankan aspek protokol. Yang penting kami perlu bekerja dalam satu pasukan untuk menjayakan ini semua.

S: Dalam program pemukiman ini, Datuk Seri mahu rakyat memberi perhatian khusus terhadap aspek kebersihan. Mengapa?

J: Jika kita hendak menjadi bangsa dan negeri yang maju serta berkembang, kita perlu mengambil perhatian dengan perkara yang kecil atau yang sering diambil mudah. Sesebuah tamadun yang besar selalunya bermula dengan mengutamakan aspek kebersihan. Tengok bagaimana Singapura berjaya mengubah pemikiran rakyatnya supaya mengutamakan kebersihan. Begitu juga Jepun. Inilah sebabnya saya menekankan aspek kebersihan dalam seruan saya kepada rakyat.

S: Apa yang dicapai dalam program pemukiman kali ini?

J: Saya tidak ada ukuran sebenar untuk menilai pencapaian program ini. Ia bukan sesuatu yang boleh diukur secara empirikal tetapi yang jelas, ada perubahan pemikiran rakyat kepada kerajaan. Mereka mula sedar dengan keperluan dan hak mereka. Mereka datang dan mengadu kepada Menteri Besar masalah mereka dalam program seumpama ini. Kami pula tidak sekadar kutip aduan mereka dan kemudian tidak lakukan apa-apa. Kami akan berusaha untuk selesaikan masalah dengan segera, ada tempoh yang ditetapkan untuk mengatasinya.

S: Apa keistimewaan program ini Datuk Seri?

J: Ini bukan sekadar acara 'pemimpin bersama rakyat' tetapi kami pemimpin benar-benar turun berjumpa rakyat. Ketua jabatan dan pegawainya turut turun untuk tahu sendiri apa masalah rakyat. Program ini memberi peluang kami memahami kehendak dan denyut nadi rakyat. Kami tahu masalah sebenar rakyat. Ia memberi impak positif kepada integriti sesebuah jabatan. Kami tidak perlu membawa sehingga beribu-ribu rakyat untuk datang. Kami tidak buat begitu, tetapi mereka hadir atas kesedaran sendiri. Kalau kita angkut orang untuk meramaikan majlis kita, saya fikir itu hanya kosmetik. Dalam program ini, kami hebahkan kepada masyarakat dan mereka hadir dengan suka rela. Setiap kawasan atau tempat yang kami pergi, ada antara 100 hingga 200 orang yang hadir. Jika 100 program yang diadakan, lebih 10,000 orang hadir dalam program ini. Perjumpaan dengan rakyat seperti ini sebenarnya lebih real.

S: Boleh dikatakan tiada pengaruh parti ditonjolkan dalam program ini. Mengapa?

J: Kami buat program yang berasaskan rakyat. Bukan tidak dengan parti, tetapi kami hendak pastikan ia satu program berteraskan rakyat. Mereka tahu, kerajaan yang memerintah adalah Barisan Nasional (BN) tetapi kami datang sebagai satu kerajaan untuk semua. Seperti biasa, pembangkang tidak akan berhenti membangkitkan pelbagai isu yang boleh menimbulkan kekeliruan rakyat. Tetapi saya yakin rakyat dapat menilainya dengan matang. Yang penting, segala isu yang dibangkitkan rakyat, mampu diselesaikan sebaik mungkin mengikut 12 indeks petunjuk prestasi (KPI) yang ditetapkan. Saya percaya ada banyak lagi perkara perlu diperbaiki, oleh sebab itu saya amat mengutamakan bekerja satu pasukan.


Trending

    Disyorkan