Khamis, 16 March 2017 | 3:42pm

Melindungi hak pekerja kita


NAIB Presiden Kanan Anih Berhad Radzimah Mohd Radzi (tiga dari kanan) beramah mesra dengan pekerja penyelengaraan Terowong Genting Sempah ketika meninjau proses penyelenggaraan. - Foto BERNAMA

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, tidak lama selepas memegang jawatan, telah menamatkan aspirasi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Sepanjang kempennya, beliau telah menyuarakan pendapat secara lantang menentang perjanjian perdagangan yang disertai AS, contohnya, Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA), yang didakwa menentang kepentingan Amerika termasuk pekerja dan perniagaannya.

Banyak usaha dilaksana negara anggota termasuk pembabitan dengan organisasi masyarakat sivil seperti pergerakan kesatuan sekerja, yang juga pihak kepada TPPA untuk mengkaji semula aspek perjanjian itu, termasuk bab buruh yang dicadangkan.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah lama menunggu untuk pindaan yang dicadangkan kepada pelbagai undang-undang buruh negara, yang sepatutnya memberi perlindungan lebih baik kepada pekerja dan membenarkan kesatuan sekerja mewakili pekerja dengan lebih bebas.

Dengan TPPA kini terkubur, sekurang-kurangnya bagi empat tahun akan datang, MTUC menggesa kerajaan agar meneruskan usaha meminda undang-undang buruh untuk manfaat pekerja Malaysia.

Undang-undang buruh Malaysia dan sistem perhubungan perindustrian tidak memenuhi keperluan taraf utama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO)- Konvensyen Kebebasan Persatuan dan Perlindungan Hak Menganjur (No.87). Kepada isu yang dibangkitkan oleh MTUC kepada ILO, kerajaan menjawab dengan menyatakan bahawa ia akan ditangani dengan cara meminda undang-undang buruh.

Jaga kepentingan pekerja

Oleh kerana TPPA kini tidak akan menjadi realiti, kerajaan haruslah bertindak mengikuti apa yang dijanjikan berkenaan pindaan undang-undang buruh. Kerajaan telah mengakui kekurangan berkenaan dengan undang-undang buruh di negara ini. Oleh itu, adalah mustahak untuk kerajaan bertindak bagi kepentingan pekerja tempatan ataupun asing.

Pengiktirafan kesatuan sekerja, iaitu satu prasyarat perundingan kolektif, telah menjadi berat sebelah terhadap kesatuan sekerja dan kesatuan pekerja. Secara teori, proses ini juga cacat dan menyukarkan pekerja dan kesatuan sekerja. Namun dalam amalan, ada banyak sekatan yang boleh diletakkan oleh majikan untuk melambatkan proses berkenaan.

Dalam banyak kes, bertahun-tahun tuntutan pengiktirafan tidak diberi kepada kesatuan sekerja untuk mewakili pekerja mereka. Ini adalah satu kelemahan di dalam sistem yang boleh diambil kesempatan oleh majikan. Pemecatan ahli kesatuan dan pemimpin disebabkan penyertaan di dalam aktiviti kesatuan sekerja pula tidak mendapat perhatian sewajarnya, sebaliknya sikap tidak peduli serta berat sebelah diambil oleh pihak Mahkamah Perusahaan.

Ini secara langsung melumpuhkan aktiviti serta kesatuan sekerja. Sektor awam tidak mempunyai hak untuk berunding, menunjukkan pekerja tidak dihormati oleh majikan terbesar di negara ini. Pendekatan ketika perbincangan antara kebanyakan kesatuan sekerja dan majikan mereka, pekerja mahupun kesatuan tidak memberi pekerja hak yang wujud dan tidak dapat dinafikan.

Hakikatnya, tidak ada sebarang alasan munasabah mengapa kesatuan sekerja dalam sektor awam tidak boleh diberikan hak berunding dengan kerajaan dan membuat perjanjian kolektif. Majikan menggunakan pekerja asing untuk menggagalkan penubuhan kesatuan sekerja, dengan adanya banyak kelonggaran untuk melakukan hal ini dengan pekerja asing.

Pekerja asing pula dieksploitasi. Sifat pekerjaan mereka dan bagaimana kontrak pekerjaan yang sememangnya berbentuk lebih kepada eksploitasi pekerja itu adalah satu bentuk perhambaan moden. Ini memberi kesan terhadap eksploitasi pekerja Malaysia, terutamanya membabitkan tahap gaji. Apa yang dipanggil pasaran bebas tidak wujud dan ia adalah lebih jelas dalam situasi ini.

Sesetengah majikan yang secara terang-terangan melanggar perjanjian pekerjaan atau peruntukan undang-undang tempatan perlu dikenakan hukuman jenayah. Tindakan mereka beri kesan serius terhadap kehidupan pekerja. Syarikat asing kebanyakan masa berjaya melepaskan diri dengan menyalahgunakan hak pekerja tempatan dan asing.

Hanya tindakan yang amat ringan diambil pihak berkuasa untuk menyekat aktiviti itu. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Lembaga Pengarah harus bertanggungjawab dan apabila ada kepastian serta langkah lebih konsisten di dalam tindakan diambil, barulah mereka akan melihat risiko daripada tindakan mereka dan menghentikan penyalahgunaan sistem itu.

Keperluan kesatuan sekerja

Malaysia seharusnya membuat penyelarasan sejajar dengan piawaian asas buruh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan menuruti semangatnya. Perhatian seharusnya diberikan kepada keperluan bagi kesatuan sekerja untuk beroperasi secara bebas untuk manfaat pekerja.

Apabila perniagaan boleh menjadikan piawaian antarabangsa sebagai penanda aras perniagaan dan pekerja syarikat terbabit perlu akur dengan penanda aras, kenapa piawaian antarabangsa buruh yang dipersetujui semua negara anggota ILO serta majikan tidak menjadi penanda aras di dalam perhubungan perusahaan, urusan majikan dan pekerja?

Di sini, kerajaan perlu main peranan lebih efektif. Saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mencapai masyarakat berpendapatan tinggi dan ekonomi mampan tidak dianggap sebagai aspirasi individu. Ia adalah untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat dan negara secara keseluruhan, dengan itu harus disokong oleh semua agensi kerajaan serta sektor swasta.

Kita mesti berada di landasan sama untuk menikmati kebaikan semua dan negara. Komitmen dibuat berkenaan pindaan undang-undang buruh tempatan harus ditepati segera, dengan konsultasi terperinci dengan pihak berkepentingan. Kita tidak memerlukan apa-apa perjanjian perdagangan untuk menggerakkan kita ke arah menjaga pekerja - sumber negara yang paling produktif.

Penulis adalah Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE)

275 dibaca
Berita Harian X