Jumaat, 17 March 2017 | 12:21am

Myanmar digesa terima Rohingya


BEKAS Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan dilihat dalam sidang video di Yangon, Myanmar. -Foto Reuters

YANGON: Myanmar perlu segera membenarkan etnik Rohingya kembali ke kampung halaman mereka dan menutup terus kem pelarian yang serba daif di negeri Rakhine, kata suruhanjaya diketuai bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan.

Lebih 120,000 orang Rohingya menetap di kem berkenaan sejak melarikan diri dari rumah masing-masing disebabkan ketegangan agama antara penduduk Buddha dan Islam pada 2012.

Kebanyakannya tidak dibenar meninggalkan kem daif yang menyaksikan mereka hidup dengan kekurangan makanan dan dinafikan pendidikan asas dan penjagaan kesihatan.

Ketua Umum Myanmar, Aung San Suu Kyi, tahun lalu melantik Annan mengetuai suruhanjaya yang ditugaskan memulihkan perpecahan antara penduduk Buddha dan Islam di Rakhine.

"Suruhanjaya menggesa pelan penutupan semua kem di negeri Rakhine," kata anggota suruhanjaya itu Ghassan Salame, kepada wartawan pada majlis pelancaran laporan interim suruhanjaya itu.

Laporan itu juga menggesa kerajaan memberi jaminan keselamatan dan peluang mencari sara hidup di tempat penempatan semula, termasuk membina rumah baharu.

Etnik Rohingya perlu dibantu untuk menjadi warga negara dan tiada lagi sekatan terhadap mereka untuk hidup sebagai rakyat yang bebas di negara itu. - AFP

402 dibaca
Berita Harian X