Ahad, 26 Mac 2017 - 5:05PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Guna indeks kelestarian negara maju

Oleh Profesor Emeritus Ibrahim Komoo

BENGKEL Bandaraya Kental Bencana yang baru selesai dianjurkan di Kuala Lumpur menyaksikan sambutan yang meriah oleh pelbagai pihak berkepentingan.

Program yang disokong oleh Dana Newton - Ungku Omar ini berhasrat merapatkan lompang antara sains dan dasar berkaitan pendekatan mengurangkan risiko bencana alam di sekitaran bandar. Peserta memberi fokus kepada isu banjir kilat, tanah runtuh, lubang benam dan pencemaran udara.

Ketika mendengar pembentangan oleh beberapa pakar dari agensi kerajaan, perunding dan universiti mengenai isu bencana alam bandar, khususnya Bandaraya Kuala Lumpur, saya dapat rasakan wujud lompang yang jelas antara pengetahuan sains mengenai bencana dan terjemahannya kepada dasar dan pelaksanaan.

Dalam kes tanah runtuh umpamanya, banyak maklumat sudah terkumpul mengenai jenis tanah runtuh, impak, faktor pencetus dan faktor penyebab bencana berkenaan.

Begitupun, respons dari segi polisi masih terbatas dan tidak selari dengan pengetahuan yang sudah terkumpul. Kesukaran menterjemah pengetahuan sains kepada dasar dan garis panduan pelaksanaan berpunca daripada kurang kerjasama antara saintis dengan pembuat dan pelaksana dasar.

Tambahan pula, kebanyakan saintis tidak mempunyai kemahiran untuk mengolah dapatan sains menjadi dokumen pengaruh dasar. Malaysia juga tidak mempunyai kelompok penganalisis dasar yang berkemampuan menterjemah dapatan sains diterbitkan dalam jurnal menjadi kenyataan dasar.

Mengambil contoh isu tanah runtuh, wujud perbezaan besar antara tanah runtuh berskala besar (cerun tabii), tanah runtuh pada cerun kejuruteraan (cerun buatan) dan tanah runtuh cetusan hujan.

Penyelesaian jangka pendek dan panjang untuk ketiga-tiga fenomena tanah runtuh ini memerlukan dasar, strategi dan pelan tindakan pengurangan risiko bencana yang berbeza.

Kelemahan reka bentuk

Di kawasan bandar, saintis maklum bahawa kebanyakan tanah runtuh berkaitan dengan cerun buatan manusia adalah akibat kelemahan reka bentuk atau pembinaan.

Saya tertarik membincangkan isu kekentalan daripada perspektif indeks kelestarian negara maju. Pada masa ini takrifan negara maju dikaitkan dengan pendapatan kasar negara atau GDP.

Pada masa ini, GDP perkapita rakyat Malaysia sudah melepasi AS$25,000 (RM111,325) dan boleh dikelompokkan sebagai negara maju. Bagaimana pula dengan tahap kelestarian sosial dan alam sekitar? Di mana agaknya kedudukan kita?

Dalam konteks kelestarian alam sekitar, saya mengambil beberapa contoh aktiviti pembangunan dan impaknya terhadap alam sekitar yang mudah difahami oleh masyarakat umum. Sebagai contoh, analisis terhadap kejadian tanah runtuh sejak lima tahun terakhir mendapati majoriti kegagalan cerun membabitkan cerun potongan dan tambakan atau cerun kejuruteraan.

Sementara di negara maju, kebanyakan isu tanah runtuh berkait rapat dengan ketakstabilan cerun tabii. Oleh itu, kadar tanah runtuh pada cerun buatan berbanding dengan cerun tabii boleh dijadikan asas indeks negara maju daripada perspektif kelestarian alam sekitar.

Contoh lain, aktiviti pembangunan di kawasan lembangan kurang terkawal menyebabkan sungai mengalami perlodakan dan pencemaran. Kebanyakan sungai utama di Malaysia sudah bertukar warna menjadi 'teh susu' dan indeks kualiti air merosot.

Kualiti air membimbangkan

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika merasmikan Seminar Keselamatan Sumber Air 2016 menyatakan 'kualiti air sungai di Malaysia sangat membimbangkan dengan 229 daripada 473 sungai di seluruh negara didapati tercemar'. Dalam konteks ini, kadar sungai bersih berbanding sungai tercemar sesuai dijadikan indeks negara maju.

Satu lagi amalan buruk dalam pembangunan hartanah ialah perataan bukit dan pemotongan cerun untuk pembangunan. Mungkin ini adalah kaedah termurah, tetapi impak alam sekitarnya paling maksimum. Kawasan perataan, kadangkala tertinggal lama, mengalami hakisan teruk menyebabkan perlodakan dan banjir kilat.

Di negara maju, mereka membangun mengikuti topografi tanpa memotong cerun. Suatu masa dahulu, di kepulauan Langkawi amalan pembangunan mengikut topografi diraikan, kini aktiviti perataan bukit mulai berleluasa. Pastinya, kadar pembangunan mengikut topografi berbanding memotong bukit boleh juga dijadikan indeks negara maju.

Ramai ahli politik dan peniaga menyuarakan pandangan bahawa kita perlu meningkatkan ekonomi terlebih dahulu, sebelum mampu memulihara warisan dan alam sekitar. Saya sering menjawab, sementara menunggu ekonomi melonjak, apa lagi yang tinggal untuk dipulihara! Sebetulnya, kedua-dua urusan penting ini boleh bergerak seiring dan seirama.

Kenal pasti warisan alam

Kita perlu mengenal pasti warisan alam dan perkhidmatan alam sekitar untuk dipulihara sambil menjana ekonomi ke arah negara maju. Pemimpin perlu mempunyai kecekalan politik, sementara peniaga pula perlu berjiwa besar untuk menghormati warisan alam.

Hasrat bengkel Bandaraya Kental Bencana mungkin mimpi indah semua warga bandar. Lebih penting lagi ialah usaha mengubah sikap dan wawasan untuk bersama memperkasa kelestarian alam sekitar.

Indeks negara maju tidak boleh diasaskan kepada pencapaian ekonomi semata-mata, tetapi perlu menggembleng usaha menghormati warisan dan perkhidmatan alam sekitar untuk kesejahteraan masyarakat.


Trending

    Disyorkan