Selasa, 23 Mei 2017 - 10:51PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Bahaya perjudikan bidang pendidikan

Oleh Dr Kamarul Zaman Yusoff

UiTM ditubuhkan untuk memajukan anak Bumiputera dalam pengajian tinggi. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

PADA 11 Mac lalu, ketika merasmikan program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) di Bera, Pahang, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata program seperti JPB adalah bukti jelas kerajaan yang ditunjangi UMNO sentiasa konsisten mengambil berat mengenai kepentingan orang Melayu dan Bumiputera, terutama golongan kurang berkemampuan.

Di bawah program ini, lebih 37,000 pelajar Melayu dan Bumiputera mendapat peluang melanjutkan pelajaran di universiti awam (UA). Tegas Najib, kalau di bawah pembangkang yang ditunjangi DAP program sebegini tidak akan dilaksanakan, dan penegasan Najib ini nyata berasas jika dilihat kepada sejarah DAP dan pembangkang.

Dasar pendidikan DAP terangkum di dalam salah satu matlamat penubuhan DAP yang digariskan oleh perlembagaannya, iaitu 'untuk mempertingkatkan taraf pendidikan berdasarkan hanya kepada merit dan keperluan, serta memberikan akses penuh dan peluang yang sama kepada pendidikan peringkat awal, peringkat menengah dan peringkat tinggi.'

Manifesto pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) membiarkan komitmen pembangkang dalam soal pendidikan terbuka dengan menyatakan PR 'akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji secara keseluruhan penambahbaikan sistem pendidikan negara agar selari dengan teras reformasi pendidikan yang digagaskan.'

Bagaimanapun, tidak sukar diagak ke mana hala tuju reformasi pendidikan ini kerana penekanan kepada 'merit dan keperluan' terserlah di dalam butiran lain manifesto sama yang menyatakan betapa 'pemilihan Naib Canselor dan Rektor UA akan dibuat berdasarkan kebolehan dan bakat oleh sebuah jawatankuasa penilai bebas dan senat.'

Pemimpin DAP pernah mengutarakan isu sama. Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP yang waktu itu adalah Setiausaha Kebangsaan DAPSY, Anthony Loke dalam ucapannya pada 10 Jun 2004 pernah mendesak supaya Naib Canselor, dekan dan profesor di UA diasaskan kepada merit sepenuhnya dan bukan kepada warna kulit.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara merangkap Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua, dalam wawancaranya pada 25 Mei 2011 juga menyebut mengenai 'pensyarah dan juga profesor yang ada, kita lihat majoriti dari satu kaum dan kita tahulah secara umum ramai, walaupun bukan semua, yang dapat posisi mereka bukan kerana kebolehan atau pun merit.'

Dalam isu sekolah, manifesto pembangkang hanya menyentuh mengenai janji untuk memberi bantuan tambahan kepada 'sekolah agama rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJK), sekolah persendirian Cina, Tamil, Iban, Kadazan dan sekolah mubaligh', tanpa menyentuh soal sekolah kebangsaan, dan pengiktirafan 'Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)' sahaja.

Tuduh wujud diskrimainasi

Begitu juga dengan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dalam memorandum beliau kepada Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein, pada 10 Disember 2004, apabila beliau menyelar keras dasar diskriminasi yang didakwa diamalkan oleh kerajaan ke atas Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan India.

Kata Guan Eng, kerajaan perlu mengiktiraf dengan sepenuhnya peranan dan sumbangan penting SRJK Cina dan India, dan Hishammuddin diminta memberikan pengagihan peruntukan yang adil kepada sekolah itu.

Oleh itu, bolehlah dijangka bahawa di bawah pemerintahan pembangkang yang ditunjangi DAP, bilangan Naib Canselor, Dekan dan Profesor bukan Melayu dan bukan Bumiputera di UA akan meningkat mendadak, tentulah dengan implikasinya yang tersendiri. Begitu juga dengan pemerkasaan sekolah bukan kebangsaan yang pasti akan diberikan tumpuan.

Selain daripada soal merit, selaras dengan ketiadaan pengiktirafan Perlembagaan DAP terhadap Perkara 153 dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh soal kedudukan istimewa Melayu serta soal Islam sebagai Agama Persekutuan, dasar pendidikan DAP juga turut diwarnai oleh sentimen ketidakselesaan terhadap aspek Melayu dan Islam.

Desak istilah 'Ketuanan Melayu' dapat dipadamkan

Guan Eng dalam memorandum beliau kepada Hishammuddin itu umpamanya mendesak supaya semua rujukan kepada istilah 'Ketuanan Melayu' dapat dipadamkan dari buku teks sejarah sekolah kerana mengungkit ketuanan kaum yang tersirat dan tersurat hanya menggalakkan perasaan ketuanan dan 'superior complex' yang tidak sihat dan bahaya.

Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari, pula menyatakan pada 21 November 2014 bahawa Islamisasi yang meluas dan agenda agama di sekolah kebangsaan sejak 20 sehingga 30 tahun lalu menyebabkan ramai ibu bapa bukan Islam tidak berminat untuk menghantar anak mereka ke sekolah itu.

Apabila Kementerian Pendidikan mengumumkan, pada 23 Oktober 2010 dan 11 Julai 2013, mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Pengajian Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) akan dijadikan mata pelajaran wajib di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Loke terus menentangnya.

Paling menyerlah antara semua ini ialah sikap DAP terhadap Universiti Teknologi MARA (UiTM), sebuah UA yang ditubuhkan menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang mana, pada 1 September 2013, Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Dyana Sofya Mohd Daud, yang juga graduan UiTM, menyatakan bahawa satu UA seperti UiTM perlu diwujudkan untuk orang bukan Melayu.

Pada 1 Oktober 2013 pula, Ahli Parlimen Ipoh Barat merangkap Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, M Kula Segaran, mendesak kerajaan membuka UiTM kepada pelajar Cina dan India, dengan menyatakan bahawa hujah tidak menyokong penggunaan merit sebagai asas pengambilan pelajar ke UiTM adalah satu pemikiran yang sangat lapuk dan terkebelakang.

Ringkasnya, jika pembangkang yang ditunjangi DAP memerintah negara, kepentingan orang Melayu dan Bumiputera dalam bidang pelajaran pasti akan terabai. Bukan sahaja UA biasa malah UA Melayu dan Bumiputera seperti UiTM juga akan dibuka seluasnya. Kandungan mata pelajaran diajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi pula akan berkurang unsur Melayu dan Islamnya.


Trending

    Disyorkan