Ahad, 26 Mac 2017 - 5:10PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Jadilah pelancong yang bijak

DIGITORIAL

KETIKA melancong, kesihatan perjalanan dan keselamatan adalah perkara yang penting dan perlu diberi perhatian ketika merangka program percutian.

Dewasa ini, hampir semua orang boleh pergi melancong kerana terdapatnya tambang murah, pakej pelancongan menarik serta pendapatan yang lebih tinggi. Dahulu, pelancongan hanyalah untuk golongan tertentu dan sentiasa dianggap sesuatu yang mewah.

"Walaupun ia adalah sesuatu yang bagus, tetapi jangan lupa bahawa ia juga memiliki risiko, contohnya risiko kesihatan," kata Pakar Perubatan Kesihatan Pekerjaan di Pusat Perubatan Prince Court, Dr Hazlee Abdul Hadi.

Katanya, semakin ramai rakyat Malaysia melancong keluar negara, semakin besar risiko mereka dijangkiti penyakit, terutamanya jika mengunjungi negara-negara tumpuan penyakit berjangkit yang mengancam nyawa.


Dr. Hazlee Abdul Hadi, Pakar Perubatan Kesihatan Pekerja Pusat Perubatan Prince Court.

Siapakah yang berisiko?

"Setiap pelancong mempunyai risiko jangkitan, tetapi terdapat sebilangan daripadanya amat mudah untuk dijangkiti," katanya.

Kanak-kanak

Kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada penyakit kerana tubuh mereka lebih kecil dan sistem imun yang tidak matang.

Perempuan mengandung

"Kehamilan mengundang risiko tambahan yang sering disebabkan oleh perubahan dalam fisiologi wanita dan anak dalam kandungan.

Oleh itu, perjalanan boleh meningkatkan risiko kesihatan wanita mengandung," kata Dr Hazlee.

"Tempoh paling selamat untuk wanita mengandung melancong ialah antara 18 dan 24 minggu (trimester kedua) kerana kecemasan obstetrik biasanya berlaku semasa trimester pertama dan ketiga.

Bagaimanapun, melancong ketika mengandung adalah selamat sekiranya langkah berjaga-jaga tertentu diambil.

Orang tua

Golongan yang berumur 60 tahun ke atas mungkin mempunyai masalah kesihatan kronik yang memerlukan pertimbangan sebelum dan semasa perjalanan.

"Tetapi adakah ini bermakna pelancongan tidak sesuai untuk golongan ini? "Sudah tentu tidak," katanya,

"Semua orang boleh melancong. Selagi pelancong menjadikan kesihatan dan keselamatan sebagai tumpuan utama ketika melancong, risiko kesihatan boleh dikekalkan pada tahap minimum agar percutian mereka lebih menyeronokkan.

Tip Pelancongan Kesihatan dan Keselamatan 101

Dr Hazlee menyarankan beberapa tip kepada pelancong untuk percutian yang sihat dan selamat.

1. Dapatkan suntikan vaksin

Beberapa destinasi pelancongan adalah tumpuan penyakit berbahaya, tetapi ia boleh dicegah dengan vaksin. Dr Hazlee mengesyorkan anda memaklumkan doktor mengenai rancangan perjalanan, terutama destinasi, tempoh perjalanan, keadaan kesihatan dan aktiviti yang dirancang, supaya suntikan vaksin yang secukupnya boleh disyorkan.

"Sebaik-baiknya 4-6 minggu sebelum melancong, jumpalah doktor anda untuk mendapatkan suntikan vaksin kerana kebanyakannya memerlukan masa untuk berkesan. Jika anda akan keluar melancong dalam masa kurang daripada 4 minggu sekalipun, anda masih perlu berjumpa dengan doktor."

2. Amalkan tabiat kebersihan yang baik

"Mencuci tangan dengan kerap adalah amat penting. Jika tiada sabun dan air disediakan, gunakan pembersih berasaskan alkohol. Elakkan daripada menyentuh hidung, mulut dan mata kecuali setelah mencuci tangan anda."

3. Gunakan topeng muka

Bagi sukarelawan yang ditempatkan di negara-negara asing, Dr. Hazlee menasihatkan mereka supaya memakai topeng muka dan sarung tangan apabila berinteraksi secara rapat dengan orang yang dijangkiti.

4. Bertenang

Pelancong kebiasaannya terburu-buru dalam merancang perjalanan dengan banyak aktiviti disenaraikan ke dalam jadual perjalanan mereka.

Akibatnya, mereka banyak bergegas dari satu tempat ke tempat yang lain, dan memenatkan diri.

"Ingat, pelancongan adalah satu aktiviti kerehatan untuk menikmati kebudayaan di destinasi pelancongan anda," katanya.

5. Dapatkan rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan

Rehat yang mencukupi sebelum melancong adalah penting.

"Jangan lakukan persiapan melancong sehingga memenatkan diri kerana anda mungkin keletihan dan lebih teruk, jatuh sakit semasa melancong," katanya lagi.

6. Bawa ubat-ubatan secukupnya

Dr Hazlee juga mengingatkan golongan yang mengambil ubat-ubatan dengan kerap agar menyelaraskan penjagaan praperjalanan dengan doktor mereka supaya bekalan ubat-ubatan mencukupi ketika melancong.

"Kemungkinan untuk mendapatkan ubat yang sesuai di luar negara adalah sukar kerana beberapa negara memerlukan preskripsi doktor untuk membeli ubat-ubatan."

7. Elakkan melancong ketika sakit

Mungkin menunda atau membatalkan percutian adalah sesuatu yang merugikan, tetapi kos kerugian ini adalah kecil berbanding dengan akibat rawatan di luar negara.

Pelancong juga dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengambil tahu mengenai wabak penyakit di destinasi yang anda tuju.

Ingat 'P' ketika melancong

Dr. Hazlee mengingatkan supaya mengambil langkah keselamatan dan kesihatan tambahan bagi memastikan pelancongan anda menarik dan menyeronokkan. Berikut adalah tiga 'P' penting semasa melancong:

  • Jadilah pelancong yang proaktif. Anda harus berjaga-jaga dan menjangkakan perkara yang mungkin berlaku semasa melancong.
  • Lakukan persediaan. - Anda mungkin mengalami kecederaan atau sakit ketika melancong, oleh itu persediaan awal boleh membantu tanpa mengganggu percutian anda.
  • Sentiasa dapatkan perlindungan. Amalkan tabiat sihat semasa dan selepas percutian anda untuk mengekalkan kesejahteraan anda.

www.princecourt.com

www.facebook.com/princecourtmc

www.twitter.com/princecourtmc


Trending

    Disyorkan