Khamis, 25 Mei 2017 - 1:40AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Langkah tambah had muatan lori bahayakan pengguna

Oleh Kamarulzaidi Kamis



LORI kecil. - Foto hiasan

KEPUTUSAN kerajaan menaikkan had berat dengan muatan (BDM) dua jenis kenderaan perdagangan baru-baru ini wajar dikaji semula kerana ia dilihat hanya menguntungkan peniaga tetapi sebaliknya menimbulkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Kementerian Pengangkutan sebelum ini mengumumkan had baharu BDM itu membabitkan kenderaan D-Controlled (lori kecil) dengan kenaikan daripada lima tan kepada 7.5 tan, manakala kenderaan perdagangan dua hingga enam gandar di jalan Persekutuan dinaikkan antara satu hingga enam tan.

Ia dibuat berdasarkan kajian bahawa kenaikan BDM dijangka berupaya mengurangkan kos pengangkutan sebanyak tujuh peratus seiring dengan usaha berterusan kerajaan untuk mengurangkan kos barangan bagi pengguna.

Begitupun, adakah benar peniaga akan menurunkan harga barangan selepas ini? Bagaimana pula dari aspek keselamatan, adakah dibuat kajian? Ini yang menimbulkan keraguan.

Selain itu, tindakan kerajaan menaikkan had BDM lori tanpa meningkatkan aspek keselamatan kenderaan juga boleh menyebabkan lebih banyak kemalangan maut, khususnya di lebuh raya.

Pertambahan beban kenderaan berat itu akan menyebabkan lebih banyak lori bakal berhadapan masalah kegagalan brek kerana had laju tidak diturunkan.

Sering dilaporkan kegagalan brek menjadi antara punca utama kemalangan lori selain daripada terlebih lebih muatan serta kecuaian pemandunya.

Peniaga syarikat pengangkutan yang mahukan untung lebih pula sering menggunakan tayar celup pada lori masing-masing sekaligus akan memburukkan lagi situasi ini. Lihat sahaja di lebuh raya, banyak cebisan tayar celup berkenaan yang bertaburan.

Sementara itu, kenderaan berat juga sering dipandu melebihi halaju. Kenderaan berat dikenakan had laju khusus bagi menjaga keselamatan di jalan raya iaitu di lebuh raya antara 80-90 km/j (50-55 bsj) dan di jalan persekutuan dan negeri antara 70-80 km/j (45-50 bsj) serta 60 km/j (40 bsj) di kawasan bandar.

Malangnya, kebanyakan kenderaan berat sering mengingkari had laju yang ditetapkan. Bagaimana pula jika kenderaan ini dibenarkan untuk menambah muatan. Tentunya lebih bahaya.

Susulan itu langkah berkenaan perlu diteliti semula khususnya dari segi kesan kepada keselamatan pengguna dan bukan sekadar manfaat kepada industri logistik semata-mata.


Trending

    Disyorkan