Sabtu, 18 March 2017 | 6:07am

Islam bukan pencetus keganasan


- Gambar hiasan

Canselor Jerman, Angela Merkel, ketika berucap pada Persidangan Keselamatan Munich beberapa minggu lalu, menyatakan Islam bukan punca keganasan.

Cendekiawan Islam perlu bersuara kepada masyarakat dunia di samping menggariskan kerjasama rapat menghapuskan militan Daesh, Boko Haram dan pengganas antarabangsa. Dunia Islam perlu beri keyakinan Islam bukan punca keganasan dan hanyalah salah faham. Pihak berkuasa Islam perlu bangkit menyatakan Islam agama keamanan dan berbeza dengan keganasan yang dilakukan atas nama Islam.

Islam bererti damai, selamat, sejahtera, penyerahan diri, taat dan patuh. Islam agama yang membawa perdamaian, keselamatan dan kesejahteraan kepada kehidupan manusia khususnya, dan semua makhluk umumnya. Islam agama yang Allah SWT turunkan kepada manusia pertama iaitu Nabi Adam AS, kemudian diturunkan secara berkesinambungan kepada nabi dan rasul berikutnya. Allah SWT berfirman maksudnya:

"Dan Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yaakub katanya: Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam."

Allah SWT memilih Islam sebagai agama yang diredai di sisi-Nya, menamakan agama ini sebagai Islam yang diwahyukan kepada Baginda SAW melalui perantaraan Jibril As. Dialah juga yang menamakan penganut Islam sebagai Muslim seperti firman-Nya bermaksud:

"Dia telah memilih kamu dan tidak menjadikan kamu menanggung susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu orang Islam sejak dahulu, dan di dalam al-Quran ini, supaya Rasulullah menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang benar dan salah)." (Surah al-Hajj: 78)

Perang alternatif terakhir setelah usaha perdamaian atau perjanjian, tidak dapat disepakati. Keizinan berperang muncul pada saat umat Islam mesti membela diri dan agama mereka. Allah SWT izinkan orang Islam yang diusir dari kampung halaman secara paksa mengumpul tentera bagi mempertahankan diri daripada pencerobohan seterusnya membantu mereka yang lemah, wanita serta kanak-kanak.

Cara kehidupan Islam berteraskan sejahtera, persefahaman dan kerjasama antara penganut agama berbeza. Namun mengapa dunia Barat hari ini mengatakan muslim pengganas. Tanggapan negatif ini diapi-apikan sejak peristiwa 11 September 2001 seterusnya menimbulkan Islamofobia.

Namun begitu, ada ahli akademik Barat mempertahankan Islam dan menyatakan Islam bukan punca keganasan dan bukan agama pengganas, antaranya Graham E Fuller dan John L Esposito. Paling menarik pandangan E Fuller dalam bukunya A World without Islam bahawa persaingan agama wujud di Asia Barat sebelum Islam lahir. Yahudi, Kristian dan Zoroaster bersaing mengembangkan agama masing-masing. Kedua, konflik yang terjadi bukan kerana agama sebaliknya kerana faktor identiti, komuniti, negara, politik, kekuasaan dan nasionalisme.

Faktor perpecahan

Ketiga, andai dunia tanpa Islam, Barat tetap menyerang Asia Barat walaupun tidak berlaku Perang Salib kerana faktor imperialisme dan komoditi minyak diAsia Barat hari ini; perpecahan tetap terjadi antara Gereja Ortodok dengan Katolik; serangan bunuh diri mungkin tetap terjadi kerana bukan muslim yang pertama melakukannya.

Selain itu, ketika Khalifah Umar al-Khattab RA membebaskan Baitulmaqdis pada 637 M, untuk kali pertamanya dalam tempoh 500 tahun orang Yahudi bebas melakukan ibadah. Seterusnya, geopolitik Islam adalah kawasan tengah yang didiami pelbagai kaum dan peradaban, bermula dari Babylon, Byzantium, Parsi dan Hindu.

Di tengah peradaban inilah, Islam menyatukan pelbagai manusia dan diterima sebagai nilai hidup hari ini. Jika Islam ganas dan kasar, dakwah ini tidak diterima. Islam tidak berkembang melalui peperangan. Sejarah merakamkan Islam berkembang ke wilayah Asia, Afrika dan Eropah melalui keunggulan akhlak dan moral tentera Muslimin ketika itu.

Sirah merakamkan dalam peperangan Yarmuk, Khalifah al-Rasyidin Umar al-Khattab RA berpesan kepada Panglima Saad bin Abi Waqas RA maksudnya:

"Aku berwasiatkan padamu serta seluruh pasukanmu agar bertakwa kepada Allah SWT dalam situasi apapun, kerana takwa adalah prinsip utama menghadapi musuh dan aku berpesan pada kalian agar berhati-hati dari segala kemaksiatan. Tentera Muslim diberi pertolongan kerana kemaksiatan yang dilakukan musuh, andai kata mereka tidak melakukan kemaksiatan, maka kita tidak memiliki kekuatan. Jumlah dan kekuatan mereka lebih besar dari kita, bila kita juga melakukan kemaksiatan seperti mereka, nescaya mereka lebih kuat dari kita."

Dalam situasi berasingan Heraklius bertanya kepada pasukannya yang lari: "Bukankah tentera Muslimin juga manusia biasa dan jumlah tentera Rom Timur lebih ramai? Seorang komandan kanan menjawab: "Benar, tentera Rom Timur lebih ramai tetapi tentera muslimin kuat kerana mereka beribadah pada waktu malam, berpuasa pada siang hari, menunaikan janji, menyeru pada kebaikan dan mencegah keburukan, mereka berlaku adil, sedangkan kita suka minum arak, berzina, melakukan keburukan, tidak menunaikan janji serta suka berbuat zalim."

Isu pengganas lebih kepada label politik dan ketenteraan. Apabila rakyat Palestin dijajah dan dihalau, tentu wujud penentangan kerana mereka mempunyai maruah dan berhak hidup di negara sendiri.

Apabila keadilan dicabuli, hak asasi dinafi, pencerobohan terus berlaku, penentangan adalah jalan terakhir yang tidak boleh dielakkan. Islam tidak menganjurkan ekstremisme. Islam mengiktiraf perbezaan kaum yang dijadikan Allah dengan pelbagai hikmah. Islam mendidik manusia menjadi baik.

Penulis adalah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri

Berita Harian X