Sabtu, 18 March 2017 | 9:41pm
KEMALANGAN di Kilometer 47 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu membabitkan sebuah kereta Toyota Innova dekat Kampung Sungai Bari, Setiu, hari ini, yang mengorbankan seorang murid Tahun Enam[FOTO /BH]

Murid Tahun Enam maut, parah kenderaan terbalik


KEMALANGAN di Kilometer 47 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu membabitkan sebuah kereta Toyota Innova dekat Kampung Sungai Bari, Setiu, hari ini, yang mengorbankan seorang murid Tahun Enam

KUALA TERENGGANU: Seorang murid Tahun Enam maut, seorang parah manakala lapan lagi murid Sekolah Kebangsaan Batu 29, Setiu cedera ringan dalam kemalangan di Kilometer 47 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Sungai Bari, Setiu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Aqil Iskandar Azrol Affendi, 12, dari Bandar Permaisuri maut yang menaiki kenderaan Toyota Innova maut di tempat kejadian, manakala rakannya, Che Ahmad Zakwan Abd Rashid, 12, cedera parah di kepala.

Lapan lagi murid sekolah berkenaan cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar manakala seorang wanita berusia 21 tahun yang memandu kenderaan berkenaan mengalami kecederaan di kaki.

Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Superintendan Burhanuddin Mustafa, berkata kejadian dipercayai kenderaan dinaiki kumpulan murid berkenaan hilang kawalan, terbabas lalu terbalik di sebelah kanan jalan.

"Kemalangan itu menyebabkan seorang penumpang di bahagian tengah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala mangsa yang lain dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan.

"Bagaimanapun, seorang daripadanya, Che Ahmad Zakwan yang cedera parah dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin ketika dihubungi berkata, berdasarkan maklumat awal, 10 murid terbabit sedang mengikuti kem latihan di sekolah mereka.

"Difahamkan, penyelia asrama sekolah meminta seorang anak perempuannya menjemput dua lagi anaknya yang mengikuti kem latihan itu untuk pulang makan di rumahnya.

"Tetapi kita tidak pasti bagaimana lapan lagi murid ikut sama, mungkin mereka diajak bersama untuk makan di rumah penyelia asrama terbabit," katanya.

72 dibaca
Berita Harian X