Ahad, 19 March 2017 | 6:21am

Ikon Orang Asli Islam cekal berdakwah


Paimuzi (kiri) beramah mesra dengan Ikon Orang Asli selepas majlis Sembang Sarapan bersama Media Aspirasi Hidup Islami Orang Asli di Putrajaya, baru-baru ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Masuk Islam, nanti masuk Gop (Melayu). Masuk Islam nanti kena tukar nama bapa kepada Abdullah. Itulah antara kebimbangan menjadi stigma dalam masyarakat Orang Asli di negara ini untuk memeluk Islam kerana tidak mahu kehilangan jati diri.

Malah, bagi Orang Asli yang sudah kembali kepada agama fitrah yakni Islam, untuk memperbetulkan salah faham terhadap stigma dan meyakinkan keluarga serta masyarakat mereka bukan sesuatu yang mudah.

Hakikat itu diakui masyarakat Orang Asli yang dipilih sebagai Ikon Orang Asli Islam pada majlis Sembang Sarapan bersama Media Aspirasi Hidup Islami Orang Asli anjuran Cawangan Dakwah Khas, Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Putrajaya, baru-baru ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM, Paimuzi Yahya dan Senator Orang Asli, Datuk Isa Ab Hamid.

Pendedahan Ikon Orang Asli yang berjaya dalam kerjaya serta bidang diceburi adalah satu kaedah terbaik membentuk masa depan masyarakat itu, khasnya dalam membantu pemahaman mereka mengenai Islam.

Penolong Pegawai Daerah Cameron Highlands, Adam Zaidi Mahidin, mengakui sukar untuk meyakinkan keluarga dan penduduk kampungnya di Rompin, Pahang, bahawa memeluk Islam bukannya menjadi orang Melayu.

"Masyarakat Orang Asli yang belum Islam bimbang jika mereka memeluk Islam, identiti mereka akan hilang. Mereka khuatir kerana pada fahaman mereka masuk Islam bermakna jadi Melayu dan mereka tidak mahu perkara itu berlaku.

"Saya sendiri setiap kali pulang ke kampung akan mengadakan pelbagai aktiviti terutama program motivasi sambil menyelitkan dakwah. Saya juga masih bergaul seperti biasa dengan jiran yang bukan Islam," katanya.

Beliau daripada suku Jakun bernasib baik kerana keluarganya tidak menghalang untuk memeluk Islam, namun ibunya, Maznah Aping, 51, menetapkan syarat mahu melihat beliau mengucap syahadah di hadapan saksi di Pejabat Agama Rompin pada 2009.


pqc

Sensitif tukar nama

Pensyarah Kanan Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Halida Yu, mengekalkan namanya dan bapanya setelah memeluk Islam bagi mengelak timbul halangan kerana menukar nama kepada nama Melayu menjadi isu sensitif kepada masyarakat Orang Asli.

Katanya, bagi orang Islam perkara itu mungkin dilihat sesuatu yang biasa tetapi tidak bagi mereka yang mengucapkan syahadah, pertukaran nama boleh menjadi isu besar.

"Saya tidak mahu mengguris hati mana-mana pihak dan setelah lama berfikir, akhirnya sehingga sekarang saya masih mengekalkan nama asal, begitu juga nama mendiang bapa tidak ditukar kepada Abdullah," katanya.

Menurut ibu kepada enam cahaya mata itu, beliau mendapat pendedahan awal hingga tertarik mendalami agama Islam ketika menyertai kelas pendidikan agama Islam di sekolah kerana ketika itu tiada pendidikan moral.

Bagaimanapun, pergaulan dengan rakan serumah yang Muslim ketika melanjutkan pengajian ijazah pertama di Amerika Syarikat menguatkan semangat untuk memeluk Islam selepas mendapat hidayah Allah SWT pada usia 21 tahun.

Wanita suku Semelai ini mengakui masyarakat luar masih kurang faham mengenai kehidupan Orang Asli dan ketika di asrama, ada kalangan rakan menganggap mereka masih memakai cawat dan memandang serong terhadap beliau serta rakan Orang Asli yang lain.

Oleh itu, Halida bersyukur kerana pendedahan awal dengan dunia luar serta sikap mendiang bapa yang mementingkan pendidikan membolehkan beliau mengubah kehidupan yang lebih baik.

Dakwah bil hal

Sementara itu, Siti Rosnani Abdullah atau Nani Dinga dari Kampung Orang Asli Bukit Serdang, Kuala Langat, Selangor, yakin dakwah bil hal dengan menunjukkan contoh yang baik dapat membuka hati bukan Islam untuk kembali kepada agama fitrah itu.

Beliau yang memeluk Islam pada 2002 membeli pakaian terpakai menggunakan hasil wang jualan sawit dan memberikan pakaian itu secara percuma kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa serta agama.

Wanita suku Temuan sanggup mengagihkan sehingga bertan-tan pakaian terpakai untuk disedekah kepada orang ramai walaupun pada awalnya ada yang membantah kerana yakin rezeki itu adalah kurniaan Allah SWT.

"Saya kasihan melihat anak kecil tidak berpakaian, begitu juga wanita yang pakaian mereka tidak sempurna hingga mendorong saya melakukan kerja kebajikan ini," katanya yang kemudian menjual pakaian terpakai dengan harga RM1 selepas dinasihatkan beberapa rakannya.

Katanya, itulah cara beliau berdakwah kepada masyarakat Orang Asli dengan berbuat baik supaya hati mereka terbuka untuk mengenali, mendalami seterusnya menerima Islam.

Paimuzi dalam ucapannya pada majlis itu berkata, Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) yang dipilih di seluruh negara menaburkan khidmat sebaik mungkin dari segi menjaga kebajikan Orang Asli.

"Ada PMOA dipilih dalam kalangan masyarakat Orang Asli dan kesemua mereka adalah kakitangan kerajaan. Ada yang tinggal bersama masyarakat Orang Asli. Mereka memberikan khidmat termasuk menguruskan dokumen pendaftaran kad pengenalan, membantu dari segi kesihatan dan sebagainya," katanya.

129 dibaca
Berita Harian X