Ahad, 19 March 2017 | 6:38am
Laman rasmi 1Malaysia Outplacement Centre (1MOC) di http://www.hrdf.com.my/wps/portal/PSMB/MainBM/Schemes/Government-Special-Fund/1MALAYSIA%20Outplacement%20Centre/

Merealisasi hasrat status negara maju


- Gambar hiasan

Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) melipatgandakan usaha untuk merealisasikan agenda negara, iaitu mencapai status negara berpendapatan tinggi. Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) atau Human Resources Development Fund (HRDF) ditubuhkan pada 1993 dan adalah organisasi dinamik di bawah KSM.

PSMB diberi mandat oleh kerajaan untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan kemahiran tenaga kerja tempatan yang berdaya saing bagi merealisasikan visi kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

PSMB menawarkan penyelesaian sumber manusia yang pelbagai dan bertepatan dengan keperluan industri semasa serta untuk membantu Malaysia menginjak kedudukannya dalam Indeks Daya Saing Global menerusi peningkatan daya saing serantau dan global. Bagi 2016-2017, Malaysia kini di tempat ke-25 daripada 138 negara yang terbabit.

Justeru, Malaysia sudah memperkenalkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) yang antaranya memfokuskan untuk memperkasakan pembangunan modal insan negara. Kerajaan melaksanakan beberapa program untuk memperkasakan pembangunan modal insan melalui empat bidang utama iaitu: Meningkatkan kecekapan pasaran buruh untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi; Transformasi pendidikan teknikal dan vokasional bagi memenuhi permintaan industri; Mengukuhkan pembelajaran sepanjang hayat untuk meningkatkan kemahiran; dan Meningkatkan kualiti sistem pendidikan untuk pencapaian pelajar lebih baik dan kecemerlangan institusi.

Program ini adalah pemangkin untuk merealisasikan hasrat 35 peratus pekerja berkemahiran tempatan serta mewujudkan 1.5 juta pekerjaan menjelang 2020.

Berbekalkan mandat berkenaan serta objektif membantu KSM dalam mewujudkan pasaran buruh tempatan cekap dan berkesan ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, PSMB memperkenalkan program latihan di bawah inisiatif strategiknya, iaitu 1Malaysia Globally Recognised Industry and Professional Certification Programme (1MalaysiaGRIP); Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) dan 1Malaysia Outplacement Centre (1MOC).

PSMB juga sudah memperkenalkan pelbagai inisiatif yang menyokong kepada pertumbuhan ekonomi negara berasaskan pengetahuan ekonomi intensif ilmu seperti:

Program Train & Replace bagi melatih pekerja tempatan mengurangkan kebergantungan kepada ekspatriat di syarikat. Hingga kini, 265 pekerja selesai menjalani latihan dan mendapat penempatan pekerjaan;

Program Graduates Enhancement Programme for Employability (GENERATE) bagi melatih bakal pekerja tempatan untuk bersedia ke alam pekerjaan. Hingga kini, 699 bakal pekerja tempatan selesai menjalani latihan dan mendapat penempatan pekerjaan; Special Intended for Community Enrichment (SPICE) bagi meningkatkan pengetahuan dan pembangunan ekonomi golongan B40 di Sabah dan Sarawak.

Hingga kini, program ini sudah melatih 4,892 pekerja.

Pengenalan RPEL

Skim Recognition of Prior Experiential Learning atau RPEL, adalah antara usaha kerajaan, menerusi KSM yang dilaksanakan menerusi satu daripada agensinya, iaitu PSMB. Skim ini dilaksanakan khas untuk membangunkan golongan B40 di negara ini.

Pelaksanaan Skim RPEL juga dilihat selaras untuk mencapai matlamat bagi meningkatkan jumlah tenaga mahir dari kumpulan B40, serta membantu memajukan kerjaya dan melayakkan mereka bagi mendapatkan jawatan serta pendapatan lebih baik.

Kerjasama antara KSM dan Kementerian Pertahanan menyaksikan PSMB dan juga PERHEBAT, agensi di bawah Kementerian Pertahanan, bersepakat menawarkan skim RPEL kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merangkumi pelbagai pangkat dari kelompok B40. Kerjasama ini diperkukuhkan menerusi memorandum persefahaman (MoU) PSMB dan PERHEBAT pada 2 Februari lalu yang turut dihadiri saya dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Kerajaan memperuntukkan RM9 juta, khas untuk RPEL yang dilaksanakan oleh PSMB.

Sejak pelaksanaan skim ini pada Ogos 2016, seramai 3,400 pekerja tempatan sedang menjalani proses pengiktirafan RPEL dan daripada jumlah ini, 456 peserta adalah Veteran ATM.

Pengenalan 1MOC

Penubuhan 1Malaysia Outplacement Centre (1MOC) adalah sebuah inisiatif kerajaan untuk meningkatkan peluang kebolehpasaran pekerja Malaysia yang kehilangan pekerjaan. Di bawah inisiatif ini, pekerja Malaysia yang kehilangan kerja akan dilengkapi dengan kemahiran industri tambahan atau kelayakan diperlukan untuk membolehkan mereka bekerja semula.

Sejak pelaksanaannya pada 2016, kerajaan sudah membelanjakan RM23 juta yang mendatangkan manfaat kepada lebih kurang 800 pekerja tempatan yang kehilangan pekerjaan akibat kemelesetan ekonomi syarikat.

Berbanding tahap kemahiran pekerja tempatan 28 peratus ketika RMKe-11 diumumkan, melalui pelbagai inisiatif kerajaan, peratusan jumlah tenaga tempatan mahir meningkat kepada 31 peratus, atau 4.7 juta ketika ini.

Jumlah ini sangat rendah jika dibandingkan dengan Finland yang mempunyai 100 peratus pekerja mahir manakala Jerman sudah mencapai 80 peratus.

Skim yang diperkenal dan dilaksanakan oleh PSMB diwujudkan bukan sahaja untuk membantu dan memudahkan majikan meningkatkan modal insan tetapi turut memberi pilihan kepada majikan menerusi bantuan dana membeli peralatan untuk menjalankan latihan sendiri

Banyak inisiatif diambil kerajaan khasnya KSM bagi memastikan pekerja di negara ini dibela sewajarnya. Meskipun ekonomi negara menghadapi pelbagai cabaran ekoran pelbagai faktor luar, ia bukan suatu alasan bagi memastikan sumber tenaga manusia negara sentiasa terlatih dan dilengkapi faktor kebolehpasaran dalam pelbagai iklim ekonomi sejagat.

Penulis adalah Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Serian, Sarawak

122 dibaca
Berita Harian X