Ahad, 19 March 2017 | 2:14pm

Aizat teringin bekerjasama dengan Ed Sheeran


AIZAT Amdan dan Ed Sheeran (gambar kecil). - Foto Nurul Shafina Jemenon/AP

KUALA LUMPUR: Diam tak diam, sudah 10 tahun penyanyi dan komposer, Aizat Amdan, 28, berkecimpung dalam bidang seni.

Sepanjang tempoh itu, pelbagai trofi dan pengiktirafan diperoleh Aizat yang bijak mengatur perjalanan karier.

Berkongsi impian sama seperti teman baiknya, Yuna, penyanyi Hanya Kau Yang Mampu ini turut mengintai peluang melebarkan sayap di pasaran antarabangsa.

"Saya ingin mengembangkan kerjaya sebagai penyanyi dan penulis lagu.

"Bersama syarikat produksi, Kasi Gegar Entertainment (KGE), saya mahu mencipta lebih banyak lagu. Bukan saja dalam negara, malah memasarkan karya ke pasaran luar.

"Jika diberi peluang, saya mahu bekerjasama dengan Ed Sheeran. Bagi saya, dia penyanyi yang bijak dan fokus dalam muzik.

"Sheeran bukan saja menyanyi, malah dia adalah komposer yang hebat dan mencipta lagu untuk penyanyi antarabangsa lain," katanya.

Aizat memberitahu, Yuna pernah beberapa kali mengajaknya mencuba nasib di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat.

"Namun, saya merasakan masanya belum sesuai. Lagipun masing-masing terlalu sibuk dengan komitmen dan karier.

"Tetapi jika ada rezeki, tentu sekali saya mahu mencuba," katanya.

54 dibaca
Berita Harian X