Ahad, 26 Mac 2017 - 5:03PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

UMNO Kelantan nafi beri laluan pada PAS

Oleh Syaherah Mustafa



DATUK Seri Mustapa Mohamed menyampaikan hadiah kepada Mohd Ikhwan Muhamad Rosli, Johan Pertandingan Pidato Piala Tok Pa di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), - Foto Fathil Asri

KOTA BHARU: UMNO Kelantan menafikan dakwaan akan memberi laluan pada PAS membabitkan beberapa kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata UMNO akan tetap bertanding di semua kerusi PAS dengan matlamat untuk memenangi PRU ini.

"Jentera kita bekerja keras membuat persiapan untuk menghadapi PRU kali ini supaya impian UMNO untuk mendapatkan Kelantan dapat dicapai.

"Kita akan terus kerja keras untuk pastikan kejayaan di peringkat Kerajaan Pusat dan negeri," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Pidato Piala Tok Pa di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) Kebangsaan, Datuk Mohd Faizal Daud, yang juga penganjur pertandingan itu.

Sementara itu, Mustapa berkata, pertandingan pidato itu dapat mencungkil bakat anak muda negeri ini yang juga bakal pemimpin masa hadapan.

"Program ini satu cara untuk melahirkan pelapis negara yang mempunyai idea dan pandangan dalam memajukan negara selaras dengan impian Transformasi Negara 2050 (TN50).

"Anak muda hari ini perlu lebih berani dan mempunyai keyakinan diri untuk melontarkan pendapat bagi sama-sama memajukan negara," katanya.


Trending

    Disyorkan