Ahad, 19 March 2017 | 7:21pm

Hanis Zalikha teringat ibu jual kuih sara keluarga


Hanis Zalikha. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Hari Wanita yang disambut baru-baru ini, membawa seribu erti buat pelakon dan pengacara, Hanis Zalikha yang memberi penghormatan terhadap ibunya, Nani Rostam melalui status di akaun Instagram.

Melalui perkongsian itu, Hanis mengimbau kenangan hidup susah selepas bapa hilang pekerjaan akibat kegawatan ekonomi.

"Saya belajar maksud sebenar di sebalik istilah 'wanita' dan pengorbanan ketika membesar. Saya lihat wanita yang sangat kuat, mama saya yang mengambil langkah pantas selepas daddy kehilangan kerja.

"Kami lima beradik masih kecil berpindah ke rumah pangsa. Mama membantu mencari rezeki dengan menjual kuih-muih, puding karamel dan nasi lemak di tepi jalan," katanya melalui status yang dikongsi, baru-baru ini.

Hanis yang mesra disapa Keknis memberitahu, ayah mendapat suntikan semangat ibu untuk membina semula kehidupan.

"Daddy mula mengambil upah bekerja di stor dan membersihkan longkang. Mereka bekerja keras dan rezeki datang dalam pelbagai cara.

"Daripada situ, saya faham, wanita sentiasa berkorban dalam hidupnya.

"Biarpun badan penat selepas mencari nafkah, ibu terus meluru ke dapur memasak demi keluarga," luah Hanis yang turut mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada setiap ibu yang berjuang untuk keluarga tercinta.

80 dibaca
Berita Harian X