Selasa, 23 Mei 2017 - 10:58PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

BN Jasin yakin pertahan kerusi

Oleh Amir Mamat



PENGERUSI BN Melaka, Datuk Seri Idris Haron (dua dari kanan) bersama Pengerusi BN Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah (dua dari kiri) pada Program Jamuan Barisan Nasional di Dewan MPJ Lipat Kajang, Jasin. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

JASIN: Barisan Nasional (BN) Jasin yakin lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen dapat dipertahankan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata ia berdasarkan maklum balas positif yang diterima dalam kalangan pengundi di kawasan berkenaan, selain kerja kuat jentera parti dan komponen di semua peringkat.

Katanya, penambahan jumlah keahlian parti komponen BN dalam parlimen terbabit turut menjadi sebab kerusi sedia ada akan kekal bertahan milik BN.

"Sehingga kini, jumlah keahlian UMNO dalam Parlimen Jasin adalah 26,714 orang membabitkan 92 cawangan, diikuti MCA (8,702 ahli), MIC (4,630 ahli), GERAKAN (675 ahli) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) seramai 1,613 ahli.

"Ia memberi kekuatan kepada BN Parlimen Jasin untuk menghadapi PRU-14 kelak," katanya ketika berucap pada majlis Jamuan BN Parlimen Jasin, di Dewan Lipat Kajang, di sini, malam ini.

Majlis itu dihadiri Pengerusi BN Melaka, yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron serta lebih 2,000 pemimpin akar umbi BN di Parlimen Jasin.

Parlimen Jasin mempunyai lima DUN iaitu Rim diwakili Datuk Wira Ghazale Muhamad, Bemban (Datuk Ng Choon Koon), Merlimau (Datuk Roslan Ahmad), Serkam (Datuk Zaidi Attan) dan Sungai Rambai (Datuk Hasan Abd Rahman).


Trending

    Disyorkan