Isnin, 20 March 2017 | 12:11am

Formula 5P mantapkan saf UMNO


ANNUAR beramah mesra bersama orang ramai pada Majlis Penerangan dan Pemantapan Ilmu Pejuang Melayu di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin, Gombak. - Foto Syarafiq Abd Samad

GOMBAK: Ketua Penerangan UMNO menggariskan formula 5 P sebagai tonik bagi memantapkan saf perjuangan parti itu, sekali gus mengukuhkan kredibiliti dan keyakinan orang ramai terhadap parti keramat orang Melayu itu.

Tan Sri Annuar Musa berkata, ia merangkumi Pemimpin, Parti, Persahabatan, Pengundi dan Perjuangan yang perlu diambil peduli serta diutamakan dalam perjuangan UMNO.

Beliau berkata, setiap ahli UMNO harus bersedia dengan formula 5 P ini bagi memastikan UMNO kekal menerajui perjuangan demi mempertahankan agama, bangsa, negara dan hak-hak kepelbagaian kaum.

"P yang pertama adalah Pemimpin. Setiap ahli perlu menzahirkan kesetiaan terhadap pemimpin meskipun dilabel penjilat. P yang seterusnya kesetiaan kepada Parti kerana ia adalah warisan turun-temurun yang perjuangannya relevan bersandarkan doa ahlinya.

"P yang ketiga adalah Persahabatan. Lebih 70 tahun penubuhan UMNO, parti keramat ini sentiasa memelihara persahabatan dan permuafakatan dengan MCA, MIC serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

"P keempat adalah Pengundi. Bukan hanya secara bermusim kerana kesetiaan dengan pengundi adalah asas kekuatan kita (UMNO). 

"P yang terakhir menyentuh soal Perjuangan. Dalam konsep perjuangan parti, soal agama, bangsa dan negara harus ditegakkan serta diutamakan," katanya ketika berucap di Majlis Penerangan dan Pemantapan Ilmu Pejuang Melayu di Kompleks Lincah Mahaguru Omar Din.

Turut hadir Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gombak.

25 dibaca
Berita Harian X