Isnin, 20 March 2017 | 6:47am

MAVCOM atasi masalah pengguna penerbangan


Hampir 80 peratus daripada aduan diterima MAVCOM membabitkan isu kerosakan dan kehilangan bagasi serta kelewatan tempoh berlepas pesawat. - Foto hiasan

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berjaya menyelesaikan 90 peratus atau 1,285 daripada 1,428 aduan diterima daripada pengguna berhubung pelanggaran peraturan oleh syarikat penerbangan sepanjang Mac hingga Disember tahun lalu.

Pengerusi Eksekutifnya, Jen (B) Tan Sri Abdullah Ahmad, berkata hampir 80 peratus daripada aduan yang diterima MAVCOM membabitkan isu kerosakan dan kehilangan bagasi serta kelewatan tempoh berlepas pesawat.

"Sejak 1 Mac hingga 31 Disember tahun lalu, kita menerima 1,428 aduan. Secara purata, 140 aduan diterima dalam sebulan atau lima dalam sehari.

Pencapaian memberangsangkan

"Dalam tempoh 10 bulan pertama sejak MAVCOM ditubuhkan, kami dapat menyelesaikan 90 peratus aduan diterima pengguna.

"Ini satu pencapaian memberangsangkan bagi suruhanjaya yang baru setahun ditubuhkan," katanya dalam temu bual bersama wartawan Kumpulan NSTP di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, MAVCOM juga berjaya membantu menyelesaikan masalah berkaitan tuntutan pengguna membabitkan syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara, Rayani Air, selepas arahan penggantungan sementara Sijil Pengendali Udara (AOC) terhadap syarikat itu dikeluarkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada April 2016.

Susulan daripada itu, siasatan dijalankan oleh suruhanjaya mendapati Rayani Air sudah melanggar syarat ditetapkan pada Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) serta mempunyai kedudukan kewangan dan komersial yang lemah untuk terus beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial.

MAVCOM membatalkan ASL Rayani Air pada Jun 2016.

Katanya, bantuan diberikan MAVCOM kepada pengguna ialah untuk mendapatkan semula wang pembelian tiket daripada syarikat penerbangan terbabit yang membuat tempahan dan membayar tiket secara dalam talian.

Abdullah berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat penerbangan yang gagal mematuhi syarat ditetapkan AOC kerana ia menyentuh kepentingan pengguna.


Abdullah Ahmad.

Jaga keselamatan pengguna

Katanya, MAVCOM juga bertegas terhadap permohonan dikemukakan mana-mana pihak untuk menubuhkan syarikat penerbangan kerana tidak mahu kejadian pelanggaran ASL AOC berlaku atau berulang seperti pernah dilaporkan sebelum ini.

"Industri penerbangan ini tidak semudah disangka. Ia perniagaan yang bukan hanya menyediakan khidmat penerbangan, tetapi paling utama menjaga keselamatan pengguna.

"Kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang gagal membuktikan mereka benar-benar layak dan mampu untuk mengendalikan sesebuah syarikat penerbangan kerana ia membabitkan kos tinggi dan paling penting membabitkan kepentingan pengguna," katanya.

Rangka kerja pastikan pengendali komited

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sedang membangunkan satu rangka kerja yang mampu menghubungkan pendapatan dijana syarikat penerbangan kepada tahap kepuasan pelanggan dan pihak berkepentingan yang akan diperkenalkan pada akhir tahun ini.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Jen (B) Tan Sri Abdullah Ahmad, berkata rangka kerja itu bertujuan memastikan pengendali lapangan terbang komited dan bertanggungjawab meningkatkan tahap perkhidmatan lapangan terbang dan kecekapan kewangan untuk manfaat pejalan udara Malaysia.

Katanya, ia sejajar usaha memastikan pengendali lapangan terbang dipertanggungjawabkan ke atas tahap perkhidmatan yang disediakan untuk rakyat.

"Banyak yang kami pelajari daripada tahun pertama operasi, justeru akan datang kami akan mengkaji impak dan corak hubungan industri dengan pengguna.

"Ia meliputi sasaran MAVCOM, sumbangan industri penerbangan terhadap ekonomi, keterhubungan lapangan terbang, tahap persaingan berkesan, selain kajian dan tinjauan industri.

"Dari segi pengguna, kami akan memperkenalkan laporan berjadual Sistem Pengurusan Aduan tidak lama lagi yang menyediakan asas kukuh menentukan perkhidmatan dan penyelesaian paling berkesan untuk industri dan pengguna.

Tinjauan pengguna

"Kami akan terus memperluaskan kesedaran mengenai hak pengguna menerusi pelbagai aktiviti dan tinjauan pengguna siri kedua bagi mengukur tahap kesedaran hak pengguna," katanya dalam temu bual bersama wartawan Kumpulan NSTP di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, ditanya strategi mengimbangi peranan MAVCOM bagi industri dan pengguna, Abdullah berkata, pihaknya percaya kedua-dua sektor memiliki kepentingan yang sama tanpa berkompromi antara satu sama lain.

Katanya, MAVCOM sudah melabur dalam keseluruhan ekosistem dan perlu memfokuskan kepada kedua-dua segmen untuk mencapai mandat serta kepercayaan yang diberikan kepada suruhanjaya.

Mengenai usaha MAVCOM menggalakkan penyertaan usahawan Bumiputera dalam sektor penerbangan, beliau berkata setakat ini MAVCOM sudah mengeluarkan 12 lesen komersial kepada usahawan Bumiputera.

Berita Harian X