Jumaat, 24 Mac 2017 - 4:07PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Tun M patut contohi Tun Ghafar - Idris Haron

Oleh Amir Mamat



DATUK Seri Idris Haron bersalaman dengan ahli-ahli BN pada Program Jamuan Barisan Nasional di Dewan Majlis Perbandaran Jasin, Lipat Kajang. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

JASIN: Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya mencontohi Allahyarham Tun Ghafar Baba yang tetap setia kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) hingga akhir hayat.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Idris Haron, berkata kesetiaan kepada perjuangan bangsa yang sering dilaungkan Dr Mahathir sebelum ini hanya separuh jalan, tidak sama dengan perjuangan Ghafar yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

"Allahyarham Tun Ghafar yang mencipta bendera BN dan diguna pakai sehingga kini, adalah pejuang parti tulen, sekali gus menunjukkan kepada kita bahawa beliau adalah pejuang sebenar kepada agama, bangsa dan negara.

"Amat sesuai gelaran Setia Sepanjang Hayat diberikan kepada beliau (Tun Ghafar), tidak seperti Tun (Dr) Mahathir yang hanya setia ketika ada jawatan, " katanya pada majlis Jamuan BN Parlimen Jasin di Dewan Lipat Kajang di sini, awal pagi ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BN Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalannya, Datuk Ghazale Muhamad.

Sementara itu, Idris berkata bekas wakil rakyat DAP yang keluar parti bulan lalu, sedia memberikan kerjasama dengan memberikan penerangan kepada masyarakat mengenai isu membabitkan parti pembangkang.

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Goh Leong San yang juga bekas Pengerusi DAP Melaka sudah bersetuju untuk berbuat demikian, tetapi bukan di pentas BN.

"Beliau (Leong San) belum bersedia untuk berceramah di pentas BN, namun akan menyediakan lokasi yang sesuai bagi memberikan penerangan jelas mengenai apa yang berlaku di kalangan parti pembangkang.

"Kita gembira dengan keadaan itu, tetapi dalam masa sama tetap bersedia untuk bekerja kuat bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti," katanya.


Trending

    Disyorkan