Ahad, 26 Mac 2017 - 5:02PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

'Nik Abduh kalah kerana ada jawatan lain'

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim



Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamed (tengah) bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (kanan) ketika hadir pada Majlis Pembukaan penggal kelima Dewan Negeri Kelantan yang ke-13 tahun 2017 di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Kota Darulnaim hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (kiri). - Foto BERNAMA

KOTA BHARU: PAS menafikan kekalahan teruk Nik Mohamad Abduh Nik Aziz sebagai Timbalan Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa, Sabtu lalu, adalah petunjuk legasi Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak lagi diterima.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata PAS Kawasan Pengkalan Chepa mahukan pemimpin yang mempunyai masa dan berupaya memberi tumpuan di kawasan berkenaan.

"Nik Abduh adalah Ketua Pemuda PAS dan juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

"Dengan tanggungjawab itu, sudah tentu beliau tidak mempunyai masa memadai untuk memberi tumpuan penuh di kawasan Pengkalan Chepa kerana mempunyai jawatan lebih besar iaitu Ketua Pemuda PAS.

"Saya sebagai Yang Dipertua Kawasan Pengkalan Chepa juga sibuk dengan tugasan lain, maka lebih elok jika timbalan saya adalah individu yang mempunyai masa.

"Dr Izani Husin adalah orang paling layak memandangkan beliau juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

"Itu pandangan saya mengenai kekalahan Nik Abduh dan ia tidak bermakna orang menolak beliau atau legasi bapanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Nik Abduh tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa dengan hanya mendapat 37 undi manakala Dr Izani memperoleh 209 undi.

Mohd Amar mempertahankan jawatan sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa selepas diumumkan menang tanpa bertanding.


Trending

    Disyorkan