Isnin, 20 March 2017 | 3:34pm

Hubungan PKR-PAS: Azmin serah kepada PAS

SHAH ALAM: PKR menyerahkan kepada pucuk kepemimpinan PAS berhubung kedudukan hubungan kedua-dua parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata PKR menyerahkan kepada kebijaksanaan kepemimpinan PAS untuk membuat keputusan itu, berikutan desakan akar umbi PAS yang mahu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

"PKR tidak putuskan hubungan dengan mana-mana pihak. Keputusan (putus tahaluf siyasi) itu perlu dibincangkan pada muktamar tahunan PAS yang akan berlangsung nanti.

"Saya menganggap hubungan dengan PAS berjalan seperti biasa, walaupun PAS di kawasan tertentu mahu memutuskan hubungan dengan PKR.


AZMIN ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kakitangan Awam Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir

"Namun, misi satu lawan satu kita masih sama dan keutamaan misi ialah melakukan perubahan dalam PRU 14. Semua pihak kena letakkan kepentingan negara sebagai keutamaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kakitangan Awam Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Sebelum ini, PAS Permatang Pauh dan Bayan Baru meluluskan usul untuk memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR, berikutan tindakan PKR yang sering membelakangkan PAS dalam membuat sebarang keputusan.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS Tumpat ketika meluluskan usul sama, kecewa dengan tindakan PKR yang terus menjalin hubungan dengan musuh PAS, iaitu DAP dan Parti Amanah Negara.

70 dibaca
Berita Harian X