Isnin, 20 March 2017 | 4:48pm

KPDNKK, PPM perkemas operasi banteras penyeludupan


KETUA Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh (kanan) dan Timbalan Pengarah JKDNKA, Datuk Azizan Abd Aziz menunjukkan dokumen SOP yang ditandatangani di Tumpat, hari ini. Foto Siti Rohana Idris

TUMPAT: Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Pasukan Polis Marin (PPM) menandatangani memorandum persefahaman prosedur operasi standard (SOP) bagi memperkemaskan lagi usaha mengekang aktiviti penyeludupan.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh, berkata majlis menandatangani SOP itu adalah usaha sama secara rasmi antara kedua-dua agensi itu untuk mengekang kegiatan penyeludupan barangan kawalan bersubsidi di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

"Segala kertas siasatan yang dibuat lebih mudah manakala semua maklumat juga dibuat bersama.

"Dengan kerjasama seumpama ini, kami yakin usaha penyeludupan dapat dikurangkan, sekali gus dibanteras," katanya selepas majlis menandatangani memorandum itu antara Pasukan Polis Marin dan Bahagian Penguatkuasa KPDNKK di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor, di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Deputi Komisioner Datuk Azizan Abd Aziz serta Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulkifli Sariaat.

Jamil berkata dari segi logistik, tidak perlu kepada penambahan aset kerana ia sudah mencukupi, malah mampu menjalankan operasi sebaik mungkin.

Katanya menerusi SOP itu juga kerjasama strategik meliputi perkara lain di luar aspek penugasan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan, termasuk sukan, latihan dan taklimat, kursus serta sesi pembelajaran dan aktiviti sosial.

Jamil berkata, kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand juga sangat baik di mana pertukaran maklumat sering dilakukan.

34 dibaca
Berita Harian X