Jumaat, 23 Jun 2017 - 11:25PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Soufi, Nor Hashimah hampiri kejuaraan dunia


SOUFI Rusli (kiri) dan Nor Hashimah Ismail mara ke separuh Kejohanan Perseorangan Piala Dunia di Kelab Warilla Bowls dan Rekreasi di New South Wales, Australia, hari ini. - Foto Facebook

KUALA LUMPUR: Dua wakil boling padang negara, Soufi Rusli dan Nor Hashimah Ismail mara ke separuh Kejohanan Perseorangan Piala Dunia di Kelab Warilla Bowls dan Rekreasi di New South Wales, Australia, hari ini.

Nor Hashimah, 45, menewaskan Ronalyn Greenlees dari Filipina 10-6, 8-5 dalam perlawanan play-off wanita untuk mara ke separuh akhir menentang pemain New Zealand, Jo Edwards, esok, demikian menurut laman web World Bowls www.worldbowls.com.

Edwards yang juga juara dunia empat kali, mara terus ke separuh akhir selepas menduduki tangga teratas pusingan awal.

Soufi pula menerima tentangan sengit daripada Pierre Breitenbach dari Afrika Selatan sebelum menang 3-12, 11-4, 3-1 dalam perlawanan play-off lelaki.

Soufi akan menentang Ali Forsyth dari New Zealand di separuh akhir esok, selepas lawan itu secara automatik mara dengan menduduki tangga teratas pusingan awal.

Sebagai rekod, Malaysia pernah mengungguli kategori lelaki dan wanita kejohanan tahunan ini, masing-masing menerusi Safuan Said pada 2008 dan Siti Zalina Ahmad pada 2015. - BERNAMA

Foto hiasan

Trending

    Disyorkan