Jumaat, 23 Jun 2017 - 11:39PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

UiTM perluas skop Jaminan Kualiti program

Oleh Norrasyidah Arshad


SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan memperluaskan skop Jaminan Kualiti semua program yang ditawarkan.

Ia susulan penerimaan Perakuan Status Swa Akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini.

Naib Canselor, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, berkata walaupun universiti itu sudah lama mengamalkan pengurusan kualiti, namun dengan pengiktirafan berkenaan, UiTM kini akan memperluaskan skop Jaminan Kualiti bagi merangkumi jaminan kualiti program akademik yang ditawarkan.

Beliau berkata, usaha terbabit akan diuruskan oleh Unit Jaminan Kualiti Dalaman, di bawah Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu UiTM.

Katanya, UiTM juga akan melatih dan membentuk pensyarah berpengalaman yang dilatih MQA sebagai pasukan panel penilai.

"Pencapaian ini akan dapat membantu UiTM untuk menghadapi isu kekangan kewangan lantaran pengurangan kos semasa proses untuk penawaran program baharu.

"Walaupun UiTM kini menawarkan lebih 500 program pelbagai peringkat dan lokasi, namun pengiktirafan yang diperolehi melalui proses pengauditan yang teliti oleh panel MQA ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, UiTM berusaha mendapatkan status berkenaan sejak 2013 bagi membuktikan kesediaan dan kemampuannya menguruskan pengiktirafan program akademik yang ditawarkan.

"Status ini hanya mampu dicapai dengan kerjasama seluruh warga UiTM termasuk di kampus cawangan, yang membentuk dokumen 'Self Review Porfolio, Self Review Report' untuk diaudit oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia," katanya.

Pagi ini, Menteri KPT, Datuk Seri Idris Jusoh mengumumkan lapan lagi universiti awam (UA) dan swasta tempatan mendapat Perakuan Status Swaakreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), yang membolehkan mereka mengakreditasi sendiri program pengajian di universiti masing-masing.

Universiti berkenaan adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), International Medical University (IMU), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Multimedia (MMU).


Trending

    Disyorkan