Selasa, 25 April 2017 - 3:16AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Harga minyak dunia terus susut

SINGAPURA: Harga minyak meneruskan penyusutan hari ini apabila pasaran terus ditekan oleh peningkatan aktiviti penggerudian AS sehingga menutupi komitmen pemotongan pembekalan daripada negara Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Harga penanda aras dagangan hadapan Brent berada pada 35 cent atau 0.68 peratus di bawah paras terakhirnya pada 0646 GMT, kepada AS$51.41 setong.

Dagangan hadapan WTI turun 46 cent atau 0.94 peratus kepada AS$48.32 setong.

Peniaga berkata, harga itu ditekan oleh kenaikan aktiviti penggerudian di Amerika Syarikat (AS) dan pembekalan berterusan oleh negara OPEC walaupun kesatuan itu berjanji untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 1.8 juta tong sehari (bpd) bersama pengeluar bukan OPEC lain, termasuk Russia.

"Terdapat momentum yang kuat dan kukuh di sebalik penurunan," kata Broker CMC Markets dalam notanya, semalam.

Penggerudian dan pengeluaran AS meningkat dengan pertambahan 14 telaga minyak lagi pada minggu sehingga 17 Mac, menjadikan bilangan keseluruhan telaga minyak kini kepada 631, paras paling banyak sejak September 2015, kata firma perkhidmatan tenaga Baker Hughes Inc.

Firma itu berkata, ia meneruskan pemulihannya dengan apa yang dikatakan sebagai usaha melonjakkan pengeluaran syal dengan paras terbanyak untuk tempoh enam bulan pada April saja.

Perunding Tenaga Trifecta, Sukrit Vijayakar, berkata peningkatan aktiviti penggerudian 'menyaksikan lonjakan dalam pengeluaran AS hinggakan ia menutup usaha pengurangan bekalan OPEC'.

Pengeluaran minyak AS naik melebihi 9.1 juta bpd daripada di bawah 8.5 juta bpd sejak Jun tahun lalu. - REUTERS


Trending

    Disyorkan