Isnin, 20 March 2017 | 5:17pm

MSAM 2017 di Temerloh, 20-25 April ini


PENGERUSI Kumpulan PNB, Tan Sri Wahid Omar (tiga dari kanan) dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad (tiga dari kiri) bersama penaja hadiah utama MSAM 2017 di Minggu Saham Amanah Malaysia 2017 Majlis Jalinan Rakan Korporat di Menara PNB, Kuala Lumpur. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Minggu Saham Amanah Malaysia 2017 (MSAM 2017) akan diadakan pada 20 hingga 25 April ini di Temerloh, Pahang.

Program berteraskan pendidikan pelaburan bersepadu itu akan diadakan di Dataran Temerloh, Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang, dengan tema 'Pelaburan 360 Hari'.

MSAM 2017 dijangka akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 20 April, sementara majlis penutup akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata sejak dianjurkan pada tahun 2000, MSAM berjaya menarik lebih 3.3 juta pengunjung.

Beliau berkata, bagi penganjuran tahun ini, PNB mengunjurkan 150,000 pengunjung akan mengunjungi MSAM 2017.

Beliau berkata demikian pada Majlis Jalinan Rakan Korporat MSAM 2017 di sini, hari ini.

Rakan Korporat MSAM dikategorikan sebagai Rakan Premier, Rakan Utama, Rakan Program Keagamaan dan Rakan Teknologi.

Rakan Premier MSAM 2017 terdiri daripada Malayan Banking Bhd, Sime Darby Bhd, I&P Group Sdn Bhd, SP Setia Bhd dan UMW Holdings Bhd.

Rakan Utama adalah Chemical Company of Malaysia Bhd, Malaysian Industrial Development Finance Bhd, MNRB Holdings Bhd, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd.

Rakan Program Keagamaan adalah Takaful Ikhlas Bhd, sementara HeiTech Padu Bhd adalah Rakan Teknologi MSAM 2017.

65 dibaca
Berita Harian X