Isnin, 20 March 2017 | 6:22pm

Terbuka India: Chong Wei sah tarik diri


CHONG Wei sah menarik diri dari saingan Terbuka India yang bermula 28 Mac hingga 2 April ini. - Foto fail AP

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei sah menarik diri dari saingan Terbuka India yang bermula 28 Mac hingga 2 April ini kerana mahu fokus sepenuhnya terhadap proses pemulihan kecederaan lutut dialaminya.

Jurulatih perseorangan lelaki, Tey Seu Bock, berkata walaupun Chong Wei tidak mengalami kesakitan lagi namun keputusan tidak ke New Delhi dibuat bagi memastikan kecederaan sama tidak berulang.

"Chong Wei akan beri fokus sepenuhnya kepada proses pemulihan dan persiapan menghadapi Terbuka Malaysia (di Kuching, Sarawak bermula 4 hingga 9 April ini). Dia tidak rasa sakit lagi tetapi perlu berjaga-jaga kerana tidak mahu kecederaan sama berulang," kata Seu Bock.

Pemain nombor satu dunia itu mengalami kecederaan lutut pada 4 Februari lalu selepas terjatuh akibat permukaan gelanggang licin di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara ketika sesi latihan.

Bagaimanapun, dia yang belum pulih sepenuhnya ketika itu membuktikan reputasinya sebagai jaguh dunia apabila menjuarai gelaran Seluruh England buat kali keempat minggu lalu.

Sebelum ini Chong Wei memberi bayangan tidak akan beraksi di Terbuka India kerana kecederaan lututnya masih belum pulih 100 peratus dan mahu membuat persediaan bagi memburu gelaran ke-12 Terbuka Malaysia.

Berita Harian X