Isnin, 20 March 2017 | 6:26pm

Emas cecah paras tertinggi dua minggu

SINGAPURA: Harga emas mencapai paras tertinggi dalam tempoh dua minggu hari ini, apabila dolar menjunam ke paras terendah enam minggu selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memberi isyarat memperlahankan kenaikan kadar faedahnya tahun ini.

Harga emas naik 0.5 peratus kepada AS$1,234.60 seauns pada 0735 GMT, selepas mencecah paras AS$1,235.50 seauns iaitu paras tertingginya sejak 6 Mac.

Dagangan hadapan emas AS naik 0.3 peratus kepada AS$1,234.10 seauns.


HARGA emas mencapai paras tertinggi dalam tempoh dua minggu hari ini. - Foto hiasan

Indeks dolar yang mengukur mata wang AS itu berbanding mata wang lain dilihat turun 0.3 peratus kepada 100.040, selepas mencecah paras terendah 100.020, iaitu paras terburuknya sejak 7 Februari.

Harga emas melantun semula lebih daripada AS$35 daripada paras terendahnya sebelum keputusan penggubal dasar Fed memuktamadkan keputusan kenaikan kadar faedah terbaru pada Rabu.

Dolar jatuh 1.7 peratus daripada paras 101.71 yang diperolehnya pada hari sama.

Kenyataan Pengerusi Fed, Janet Yellen untuk lebih berhati-hati dengan keputusan kenaikan akan datang itu membuatkan pelabur beranggapan tiada kemungkinan lagi untuk kenaikan kadar faedah dalam mesyuarat dasar akan datang pada Mei, dan kemungkinan akan menyaksikan kebarangkalian kenaikan sekitar 50-50 bagi Jun.

"Pasaran dipacu oleh petunjuk Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dan Fed.

"Kebanyakan pelabur kini kelihatan kembali beralih kepada emas dan lebih selesa dengan harganya," kata seorang peniaga logam berharga Hong Kong.

"Dolar lemah sepanjang minggu, ia menolak emas lebih tinggi, ini adalah pembelian teknikal semata-mata." - REUTERS

34 dibaca
Berita Harian X