Isnin, 20 March 2017 | 7:06pm

Delegasi Malaysia lawat loji nuklear


SEBAHAGIAN daripada delegasi Malaysia yang menyertai program lawatan kerja pemahaman awam mengenai tenaga nuklear Jepun di negara itu selama enam hari, bermula hari ini.

TOKYO: Seramai 25 delegasi Malaysia termasuk wakil daripada beberapa kementerian menyertai program lawatan kerja pemahaman awam mengenai tenaga nuklear Jepun di negara ini, selama enam hari, bermula hari ini.

Ketua Eksekutif Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC), Dr Mohd Zamzam Jaafar, berkata lawatan kerja diselaraskan pihaknya itu, dibuat atas jemputan Pusat Kerjasama Antarabangsa (JAIF) Forum Industri Atom Jepun (JICC).

"Jepun mempunyai program kesedaran mengenai nuklear yang menyeluruh bagi rakyatnya sendiri selain negara lain yang berminat untuk memahami pelaksanaan program kuasa nuklear mereka.

"Dalam program ini, JAIF JICC akan membawa kita melawat loji jana kuasa nuklear dan memberi penerangan mengenai operasi stesen terbabit," katanya selepas tiba di sini, hari ini.

Yang turut menyertai lawatan itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah (Sektoral) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Allauddin Anuar dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Mengulas lanjut, Mohd Zamzam berkata, delegasi itu akan dibawa melawat Stesen Jana Kuasa Nuklear Kashiwazaki Kariwa di Nagaoka; Loji Jana Kuasa Nuklear Ikata di Shikoku dan kilang pengeluaran reaktor loji nuklear Mitsubishi Heavy Industries-Kobe Shipyard & Machinery Works di Kobe.

Beliau berkata, JAIF JICC akan memberi penekanan terhadap usaha yang dilakukan bagi meningkatkan tahap keselamatan loji nuklear di negara itu selepas bencana Loji Jana Kuasa Fukushima Daiichi pada Mac 2011.

Bencana itu berlaku apabila gempa bumi berukuran 9.0 magnitud menggegarkan Jepun pada 11 Mac 2011, mencetuskan tsunami besar-besaran yang turut memusnahkan reaktor nuklear terbabit, sekali gus menyebabkan pencemaran radioaktif.

47 dibaca
Berita Harian X