Sabtu, 29 April 2017 - 9:52AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Mizz Nina tak kisah peminat kongsi video lama

Oleh Feride Hikmet Atak



Mizz Nina.

KUALA LUMPUR: Bekas penyanyi Mizz Nina, 37, bersikap terbuka apabila masih ramai peminat berkongsi video muzik lagu lamanya di laman sosial.

Mizz Nina atau nama penuhnya Shazrina Azman berkata, biarpun sudah meninggalkan bidang nyanyian, beliau akur zaman silamnya tidak mungkin dapat diubah.

"Memang sehingga kini peminat masih berkongsi video muzik saya yang lama di laman sosial.

"Tidak mengapa, saya pun tidak boleh menghalang mereka berbuat begitu. Lagipun, saya tidak pernah menyesal dengan kehidupan lalu," katanya kepada BH Online.

Isteri kepada vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, itu berkata demikian ketika mengulas mengenai lagu dan video muziknya yang masih menjadi tontonan umum. Malah, ia turut dikongsi peminat di laman sosial masing-masing.


Mizz Nina dan suaminya, Noh Salleh.

Kata Mizz Nina, beliau tidak kisah dengan perkara itu, apatah lagi peminat dapat melihat sendiri proses perubahannya dalam usaha menjadi wanita Muslimah sejati.

Malah, ia sekali gus mendorong orang ramai menjadikan beliau sebagai inspirasi saat mengikuti perkembangan beliau dalam proses penghijrahan diri.

Sementara itu, Mizz Nina berkata, beliau juga seronok apabila laman sosial Instagram dijadikan sebagai medium untuk dirinya berdakwah.

"Saya mengambil peluang ini untuk mendekatkan pengikut Instagram saya dengan Islam. Ia antara cara dakwah yang paling mudah.

"Tidak mengapa jika seseorang itu belum berhijrah, namun membaca entri yang dimuat naik di laman sosial juga tetap satu ilmu.

"Lagipun, tiada istilah terlambat dalam usaha kita mendekatkan diri kepada ajaran Islam. Saya sendiri belajar mengenal alif, ba dan ta selepas usia 30 tahun," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nina kini sibuk dengan kerja produksi menerbitkan beberapa program untuk siaran pada Ramadan depan, di bawah syarikat penerbitannya, DOPs TV.


Trending

    Disyorkan