Isnin, 20 March 2017 | 7:20pm

PRESMA rayu polis tangani samseng


AYOOB Khan Muhamad Yakub (empat kanan duduk) dan ahli-ahli PRESMA menunjukkan memorandum Menubuhkan Tindakan Khas (Task Force) di Oakland Industrial Park Seremban 2. - Foto Ayshah Mohd Jamaludin

SEREMBAN: Kehadiran samseng yang meminta wang perlindungan antara RM500 hingga RM5,000 menyebabkan pengusaha restoran Muslim meminta polis campur tangan mengatasi masalah itu.

Masalah itu dikatakan sudah lama berlaku di seluruh negara, tetapi semakin serius sejak beberapa tahun lalu, membabitkan sesetengah kira-kira 4,000 pengusaha restoran Muslim.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Ayoob Khan Muhamad Yakub, mendakwa kira-kira 15 kes membabitkan ahli persatuan itu berlaku sejak Januari lalu.

Katanya, sebelum ini pengusaha restoran memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu masalah lebih besar berlaku jika dilaporkan kepada pihak berkuasa, tetapi tidak lagi dapat menahan sabar berikutan kekerapan samseng meminta wang perlindungan.

"Mereka bijak menimbulkan masalah, termasuk menggunakan taktik bergaduh sesama sendiri, membuat bising atau membuang makanan, menyebabkan pelanggan takut," katanya dalam sidang media di sebuah restoran Muslim di sini, hari ini.

Ayoob Khan berkata, sidang media dibuat di restoran itu yang juga menjadi mangsa apabila tiga pekerjanya dibelasah oleh sembilan samseng sehingga cedera, minggu lalu.

Bagaimanapun, katanya tindakan pantas polis selepas kejadian itu dilaporkan menyebabkan enam daripada samseng terbabit berjaya ditahan.

18 dibaca
Berita Harian X