Isnin, 20 March 2017 | 7:24pm

Saham Axiata, TM ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Saham Axiata Group Bhd (Axiata) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) masing-masing meningkat 2.21 peratus dan 1.27 peratus hari ini, berikutan berita kemungkinan penggabungan antara kedua-duanya syarikat itu.

Pada penutup urus niaga jam 5 petang, saham Axiata menokok 11 kepada RM5.08 dengan 17.31 juta saham diniagakan, manakala saham TM menambah lapan dengan kepada RM6.40, dengan 9.75 juta saham diniagakan.

Dalam nota penyelidikannya, Public Investment Bank Research, berkata ia tidak terkejut dengan berita itu kerana penggabungan semula itu kali pertamanya dicadangkan apabila TM menyertai industri mudah alih dengan pembelian Packet One Networks (P1).

"Dalam usaha TM untuk menjadi pemain berpusat bagi menawarkan perkhidmatan talian tetap, jalur lebar dan tanpa wayar, penggabungannya dengan Axiata akan menyediakannya laluan pantas untuk memasuki pasaran tanpa wayar.

"Kami percaya TM akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk mengukuhkan kedudukan dalam pasaran mudah alih menerusi P1," kata firma penyelidikan itu.

Firma itu berkata, memandangkan maklumat mengenai kemungkinan pelaksanaan korporat itu masih lagi samar buat masa ini, ia mengekalkan saranan 'neutral' ke atas Axiata dengan harga sasarannya tidak berubah pada RM4.48.

Sementara itu, Public Investment Bank Research berkata kajian strategik Axiata bagi pegangan sahamnya dalam syarikat telekomunikasi Singapura, M1 Ltd, berkemungkinan akan membawa kepada pelupusan pegangan Axiata dalam M1 atau kemungkinan menjadikan M1 syarikat persendirian.

"M1 bergelut dengan penurunan margin keuntungan kerana persaingan dalam pasaran telekomunikasi di Singapura menjadi semakin sengit dengan kemasukan syarikat pengendali mudah alih yang keempat, TPG Telecom," kata firma itu.

Jumaat lalu, Axiata mengesahkan ia dan pemegang saham utama lain M1, Singapore Press Holdings Ltd (SPH) dan Keppel Telecommunications & Transportation Ltd, akan melaksanakan kajian strategik berkenaan pemegangan saham dalam syarikat tersebut.

Axiata memegang 28.5 peratus pegangan dalam M1, manakala Keppel dan SPH masing-masing sebanyak 19.2 peratus dan 13.4 peratus.

Tambahan pula, laporan menyebut unit milik 19.8 peratus Axiata, Idea Cellular Ltd, dan Vodafone Group Britain hari ini bersetuju untuk menggabungkan operasi India mereka yang kelak akan mewujudkan perniagaan telekomunikasi terbesar India. - BERNAMA

51 dibaca
Berita Harian X