Isnin, 20 March 2017 | 7:36pm

Malaysia perlu banyak syarikat penyelesaian FinTech


Bank Negara Malaysia.

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menghasilkan lebih banyak syarikat yang menyediakan penyelesaian teknologi kewangan (FinTech) dalam negara serta untuk pasaran pesat membangun lain, terutama di rantau ASEAN.

Pengerusi Kumpulan Pemboleh Teknologi Kumpulan (FTEG) Bank Negara Malaysia (BNM), Aznan Abdul Aziz, berkata kini sudah hampir setahun sejak bank pusat itu menubuhkan FTEG.

"Dalam tempoh singkat ini, kami mula memantau anjakan sikap. Namun banyak yang masih diperlukan, termasuk perubahan paradigma.

"Kita mesti menerima teknologi, dan pada masa sama mengambil kira cabaran yang datang bersamanya. Saya mahu kita semua berubah sikap dan menyesuaikan diri dengan industri FinTech yang pesat berubah," katanya dalam ucapan pembukaan pada persidangan Finnovasia KL di sini, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia berada pada kedudukan unik untuk menjadi tapak ujian dalam penyelesaian inovatif FinTech bagi pasaran pesat membangun, berdasarkan beberapa faktor yang memberikan Malaysia kelebihan saingan.

Antaranya ialah kepimpinan Malaysia dalam bidang strategik seperti kewangan Islam dan terangkuman kewangan, katanya.

"Malaysia berada dalam kedudukan tinggi dalam kalangan negara utama dalam pembangunan kewangan Islam, selain diperakui atas semangat dan komitmen dalam memajukan agenda terangkuman kewangan.

"Ini secara semula jadinya mencerminkan tumpuan dan sokongan kami ke atas inovasi FinTech yang dibangunkan khusus untuk memenuhi agenda ini," katanya.

Aznan berkata, profil pengguna Malaysia dan cabarannya adalah sama dengan pasaran pesat membangun lain.

Malaysia adalah negara berpendapatan sederhana dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar 4.0 hingga 5.0 peratus, dengan kira-kira 30 juta penduduk, menikmati penembusan Internet dan mudah alih yang tinggi, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai asas pengguna Fintech yang sesuai.

Beliau berkata, terdapat sokongan kukuh dan menyeluruh daripada pihak berkepentingan utama dalam memacu ekosistem FinTech, e-dagang dan usahawan kecil dan sederhana.

"Bank bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berwibawa lain, termasuk Suruhanjaya Sekuriti dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia bagi menyediakan infrastruktur dan rangka kerja kawal selia yang kondusif untuk landskap FinTech yang kukuh.

"Faktor ini meletakkan Malaysia sebagai tapak sesuai untuk syarikat FinTech menguji dan mengesahkan penyelesaian mereka sebelum beralih kepada pasaran yang lebih besar," katanya.

Bank pusat, katanya, sedang meneroka beberapa pemboleh kritikal untuk menyediakan infrastruktur dan rangka kerja yang sesuai untuk memaksimumkan peluang, di samping meminimumkan risiko kepada kestabilan kewangan dan pengguna.

Ini termasuk mempermudah pembentukan identiti digital berpusat untuk membolehkan pengurusan yang cekap dan berkesan seta mengetahui proses pelanggan.

Ini juga membolehkan penggunaan pengkomputeran awan untuk membolehkan penyimpanan data dengan cekap dan selamat tanpa menjejaskan keselamatan data. - BERNAMA

42 dibaca
Berita Harian X