Isnin, 20 March 2017 | 7:59pm

Lelaki buat kenyataan jelik ditahan

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan seorang lelaki selepas dipercayai memuatnaik kenyataan jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi laman sosial Facebook. 

Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 tengah hari tadi di sebuah restoran di Georgetown, Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. 

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata suspek ditahan susulan beberapa laporan diterima Polis Johor berkaitan dengan penyalahgunaan laman media sosial pada 16 Mac lalu. 


KETUA Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. - Foto Mohd Azren Jamaludin

"Susulan penahanan suspek, polis juga merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan lelaki terbabit bagi membuat kenyataan jelik terhadap Perdana Menteri menerusi Facebook. 

"Kenyataan jelik yang dimuat naik itu boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan sekiranya disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara atau kedua-duanya selain boleh didenda RM1,000 selanjutnya bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. 

"Polis ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan mana-mana aplikasi untuk mengeluarkan kenyataan palsu, menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain," katanya. 

Suspek juga akan dibawa ke Mahkamah Majistret Pontian, dekat sini pagi esok bagi permohonan reman untuk membolehkan polis menjalankan siasatan.

35 dibaca
Berita Harian X