Selasa, 25 April 2017 - 2:54AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Polis sahkan mati dibunuh

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


KAJANG: Polis mengesahkan mayat seorang lelaki dalam keadaan reput yang ditemui di tepi jalan berhampiran Kampung Sungai Kembong Hulu di sini, semalam meninggal dunia akibat dihentak objek tumpul pada kepalanya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata penemuan itu hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat terbabit di Hospital Serdang hari ini.

"Laporan bedah siasat yang dilakukan, mangsa yang ditemui tanpa sebarang identiti itu mati akibat kecederaan parah di kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

"Mangsa berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun, berkulit cerah dan tinggi 163 sentimeter. Ketika ditemui, mangsa hanya memakai seluar berwarna gelap," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Othman memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes terbabit atau kehilangan ahli keluarga supaya melaporkannya kepada polis.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, BH Online melaporkan mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan reput di tepi jalan berhampiran Kampung Sungai Kembong Hulu di sini, kira-kira jam 1 tengah hari.

Mayat tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu ditemui oleh orang awam.


Trending

    Disyorkan