Isnin, 20 March 2017 | 8:50pm

Korporat bantu Malaysia jadi negara sukan


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara sukan dan melahirkan rakyat yang sihat serta cergas perlu mendapat sokongan dan kerjasama padu sektor korporat.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar,berkata  usaha kerajaan membentuk negara sukan tidak menjadi kenyataan tanpa penyertaan sektor korporat yang mempunyai peluang dan platform lebih luas bagi merealisasikan hasrat itu.

Katanya, ini dapat dilihat menerusi penerimaan rakyat terhadap program kecergasan anjuran sektor korporat yang mendapat sambutan menggalakkan, sekali gus menjadi petanda baik dalam usaha menjadikan Malaysia negara sukan.

"Kita lihat setiap hari ada saja acara larian, berbasikal dan pelbagai program riadah dianjurkan pihak kerajaan atau sektor swasta yang mendapat sambutan penyertaan sangat menggalakkan.

"Ini petanda baik kerana sumbangan sektor korporat dalam bidang ini dapat membantu kita menjadikan Malaysia negara sukan, sekali gus melahirkan rakyat yang sihat dan cergas," katanya berucap merasmikan program 'BDB Triple Challange 2017' di Taman Botani Perdana Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Izham Yusoff berkata, program edisi kedua itu bakal memberi pengalaman luar biasa kepada peserta, selain membantu mempromosikan sektor pelancongan tempatan terutama di Kedah.

"BDB Tripelle Challange 2017 diberi perubahan baharu dengan halangan yang lebih mencabar dan lokasi lebih menarik untuk diteroka pesertanya .

"Acara larian akan membawa peserta meneroka Gunung Raya, manakala bagi acara kedua pula, peserta perlu mengharungi sukan ekstrem di Tasik Darulaman, selain acara berakit membawa peserta menyusuri Sungai Sedim di Kedah," katanya.

BDB Triple Challange 2017 menampilkan tiga jenis acara sukan di tiga lokasi berasingan di Kedah, bermula dengan 'BDB Climb & Run Langkawi', 'BDB Extreme Jitra' dan berakhir dengan "BDB Water Rafting".

Semua acara itu tersebut berlangsung pada 22 April, 23 September dan 18 November tahun ini.

Berita Harian X