Isnin, 20 March 2017 | 10:01pm

Ditahan curi fosil telur dinosaur


POLIS China menahan seorang lelaki atas tuduhan mencuri berdozen-dozen fosil telur dinosaur. - Foto www.straitstimes.com

BEIJING: Polis China menahan seorang lelaki atas tuduhan mencuri berdozen-dozen fosil telur dinosaur.

Menurut laporan media tempatan, lelaki hanya dikenali sebagai Wang itu mencuri 80 fosil telur itu dari seorang pengumpul di wilayah Zhejiang pada 9 Januari lalu dengan bantuan tiga rakannya.

Agensi berita rasmi Xianhua melaporkan, Wang sebelum itu mengunjungi pengumpul terbabit dua kali dan berpura-pura mahu membeli fosil telur itu.

Semua suspek kemudian membahagikan fosil telur itu sesama mereka dan Wang membawa pulang 27 biji fosil telur.

Semua 27 fosil telur itu ditemui semula oleh pihak polis yang menyerbu kediaman Wang di daerah Huanan dalam wilayah Heilongjiang pada 4 Mac lalu.

Tiga lagi rakan subahat Wang dijangka akan ditahan dalam jangka masa terdekat.

Banyak penemuan fosil telur dinosaur dilaporkan di China sebelum ini.

Bandar Heyuan di bahagian selatan negara itu mencatat rekod sebagai lokasi terbesar fosil telur dinosaur dijumpai apabila hampir 17,000 biji ditemui di bandar itu sejak 1996, bermula dengan penemuan oleh sekumpulan pelajar yang sedang bermain di sebuah tapak bangunan. - AFP

20 dibaca
Berita Harian X