Isnin, 20 March 2017 | 10:16pm

Axiata kaji impak gabung Idea, Vodafone di India

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd kini sedang menganalisis impak berpotensi daripada penggabungan anak syarikat telekomunikasinya, Idea Cellular Ltd (Idea) dengan Vodafone India yang bakal membentuk rangkaian mudah alih terbesar di negara itu kelak.

Axiata ketika ini memegang 19.8 peratus kepentingan dalam Idea Cellular, penyedia perkhidmatan telekomunikasi India.

Menurut Axiata, kajian terhadap kedudukannya sebagai pemegang saham minoriti Idea adalah lanjutan daripada penilaiannya terhadap perkembangan terbaru dan ruang menganalisis portfolio pelaburannya secara menyeluruh.

"Sudah sembilan tahun Axiata menjadi pemegang saham strategik Idea, justeru seperti biasa kami akan memastikan pemegang saham berada dalam kedudukan terbaik daripada sebarang penggabungan atau perkembangan industri.

"Pada masa sama, Axiata akan memastikan kedudukan pelaburannya dalam Idea dapat dimaksimumkan dari segi nilai dan kecairan.

"Langkah Axiata yang seterusnya, jika ada, akan berlandaskan kepada analisis menyeluruh berlandaskan kepada prinsip memaksimumkan manfaat pemegang saham kami," demikian menurut Axiata dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu bagi mengulas pengumuman lembaga pengarah Idea, majoriti dimiliki Aditya Birla Group, kepada pengawal selia pasaran India hari ini berhubung kelulusan skim penggabungan Vodafone India Ltd (VIL) dan anak syarikat milik penuhnya, Vodafone Mobile Services Ltd (VMSL), dengan syarikat itu.

Sementara itu di New Delhi, BERNAMA melaporkan anggaran nilai syarikat terbabit adalah Rs828 bilion (AS$12.4 bilion) untuk Vodafone India dan Rs722 billion (AS$10.8 bilion) untuk Idea.

Entiti yang digabungkan itu bakal memiliki 394 juta asas pelanggan atau 35 peratus penguasaan pasaran India yang semakin kompetitif.

Persaingan meningkat dengan tiga pengendali terbesar, Bharti Airtel, Vodafone dan Idea menghadapi tekanan harga berikutan pelancaran perkhidmatan mudah alih 4G tahun lepas oleh Reliance Jio Infocomm, milik usahawan terkaya India, Mukesh Ambani.

Pada akhir 2016, Vodafone mempunyai 18.16 peratus penguasaan pasaran dengan 204.68 juta pelanggan mudah alih dan Idea memiliki 190.51 juta pelanggan dengan 16.9 peratus pasaran.

Peneraju pasaran, Bharti Airtel menikmati penguasaan 23.58 peratus dengan 265.85 juta pelanggan.

Gabungan Vodafone-Idea tidak termasuk 42 peratus saham Vodafone dalam Indus Towers yang mana Airtel dan Idea mempunyai kepentingan.

Apabila penggabungan itu selesai, keseluruhan perniagaan VIL dan VMSL, tidak termasuk pelaburan VIL dalam Indus Towers Ltd, aset rangkaian antarabangsa dan platform teknologi maklumatnya, akan diberikan pada syarikat berkenaan.

Vodafone akan memiliki 45.1 peratus entiti digabungkan itu selepas memindahkan 4.9 peratus saham kepada kumpulan Aditya Birla, manakala Idea akan memegang 26 peratus kumpulan itu dan selebihnya dimiliki pemegang saham lain.

19 dibaca
Berita Harian X