Khamis, 25 Mei 2017 - 1:37AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Perancang utama kes tebusan suri rumah ditahan

Oleh Mohamed Farid Noh



KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan sepucul pistol dan beberapa barang rampasan berikutan tangkapan suspek utama kes culik seorang suri rumah pada sidang media di Balai Polis Yong Peng. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

BATU PAHAT: Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 39 tahun yang dipercayai perancang utama kes suri rumah dikurung selama 27 hari di sebuah rumah di Pulau Batam, Indonesia, selepas diculik dari rumahnya di Johor Bahru.

Suspek ditahan di Plaza Tol Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Yong Peng Selatan pada jam 5.15 petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata suspek ditahan sepasukan anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) hasil maklumat awam.

Katanya, polis turut menemui sepucuk pistol separuh automatik yang diselitkan di pinggangnya serta sebungkus plastik lutsinar mengandungi 23 butir peluru.

"Suspek berkenaan dipercayai mahu melarikan diri selepas berita penangkapan rakannya yang lain disiarkan media pagi tadi. Polis turut menahan pemandu teksi dinaiki untuk siasatan lanjut.

"Penahanan suspek utama yang paling dikehendaki ini menjadikan setakat ini seramai 13 suspek kes ini ditahan, membabitkan 9 lelaki dan empat wanita," katanya dalam sidang media di Balai Polis Yong Peng, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa.

Pagi tadi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengumumkan penahanan 12 suspek di Malaysia dan enam lagi di Batam, sekali gus berjaya menyelamatkan suri rumah yang dikurung dalam sebuah rumah di Pulau Batam, Indonesia selepas diculik dari rumahnya di Johor Bahru sejak 21 Februari lalu.

Khalid dilaporkan berkata mangsa berjaya diselamatkan di sebuah rumah ladang di pulau itu dan dibawa pulang dengan selamat, semalam.

"Mangsa diculik di rumahnya pada jam 3.30 pagi 21 Februari lalu dan dibawa ke Pulau Batam sebelum dikurung di sana, bagaimanapun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.-


Trending

    Disyorkan