Isnin, 20 March 2017 | 11:00pm

Bill Gates kekal individu terkaya di dunia


BILL Gates kekal sebagai individu terkaya di dunia untuk empat tahun berturut-turut. - Foto fail AFP

NEW YORK: Bill Gates kekal sebagai individu terkaya di dunia untuk empat tahun berturut-turut.

Berdasarkan senarai bilionair Forbes 2017, Gates mempunyai kekayaan AS$86 bilion (RM380.68 bilion), meningkat berbanding AS$75 bilion (RM331.99 bilion) tahun lalu.

Ketua Berkshire Hathaway, Warren Buffett, menduduki tempat kedua dengan kekayaan bernilai AS$75.6 bilion (RM334.64 bilion), meningkat berbanding AS$60.8 bilion (RM269.13 bilion) pada 2016.

Individu ketiga terkaya di dunia dipegang pengasas e-dagang Amazon, Jeff Bezos, dengan nilai kekayaannya meningkat daripada AS$27.6 bilion (RM122.17 bilion) kepada AS$72.8 bilion (RM322.25 bilion).

Beliau tersenarai buat pertama kali sebagai individu terkaya ketiga di dunia dalam senarai Forbes itu.

Pengasas jenama runcit pakaian Zara, Amancio Ortega jatuh ke tempat keempat meskipun kekayaan beliau meningkat kepada AS$71.3 bilion (RM315.61 bilion).

Tempat kelima individu terkaya di dunia dipegang Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, dengan kekayaan bernilai AS$56 bilion (RM247.88 bilion).

Di peringkat rantau Asia Pasifik, terdapat seramai 720 orang billionair.

Sementara itu, dalam kalangan bilionair Malaysia yang tersenarai ialah Robert Kuok, yang menduduki tempat ke-115 dengan kekayaan bernilai AS$11.4 bilion (RM50.46 bilion); Quek Leng Chan (tempat ke-202 dengan kekayaan bernilai AS$6.8 bilion (RM30.1 bilion).

Ananda Krishnan (tempat ke-219 dengan kekayaan bernilai AS$6.5 bilion (RM28.77 bilion) dan Lee Shin Cheng (tempat ke-348 dengan kekayaan bernilai AS$4.7 bilion, RM20.8 bilion).

Dalam senarai bilionair Forbes 2017, jumlah bilionair di dunia meningkat 13 peratus kepada 2,043, sekali gus menjadikan ia tahun rekod bagi jumlah bilionair tertinggi dengan nilai kekayaan meningkat 18 peratus kepada AS$7.67 trilion (RM33.95 trilion).

Malah, perubahan dalam jumlah bilionair iaitu meningkat 233 sejak senarai 2016 adalah peningkatan terbesar dalam tempoh 31 tahun.

Berita Harian X