Ahad, 26 Mac 2017 - 5:13PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Tentera Syria guna senjata kimia pada orang awam


KESATUAN Eropah hari ini menyenarai hitam empat pegawai tinggi tentera Syria kerana terbabit dalam penggunaan senjata kimia ke atas orang awam. - Foto REUTERS

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) hari ini menyenarai hitam empat pegawai tinggi tentera Syria kerana terbabit dalam penggunaan senjata kimia ke atas orang awam.

Kenyataan oleh EU berkata, pegawai terbabit melanggar dasar ditetapkan EU, yang menghalang penggunaan senjata kimia.

"Keputusan berkenaan menjadikan jumlah rakyat Syria yang diambil tindakan meningkat kepada 239 orang sejak perang saudara meletus di negara itu pada 2011.

"Antara tindakan yang pernah diambil adalah membekukan aset dan mengenakan larangan perjalanan berikutan keganasan yang mereka lakukan ke atas orang awam," kata kenyataan itu.

EU turut membekukan aset 67 entiti dan beberapa tindakan lain terhadap Syria, termasuk sekatan ke atas senjata api dan minyak, larangan pelaburan serta pembekuan aset Bank Pusat Syria.

Kenyataan itu turut menyebut, EU komited untuk mencari penyelesaian politik terbaik dalam menangani konflik di Syria, di bawah rangka kerja yang dipersetujui Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB). - AFP


Trending

    Disyorkan