Isnin, 20 March 2017 | 11:35pm

Kanak-kanak 3 tahun ditemui lemas

IPOH: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ditemui lemas dalam sebuah kolam di sebuah inap desa di Tanah Merah, Chemor, di sini, pagi tadi. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Dhia Zara Mior Azmi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba bersama ambulans di rumah berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata bapa mangsa sedang tidur ketika kejadian itu berlaku. 

Katanya, sebaik sedar dari tidur, bapa mangsa berusia 41 tahun mencari anaknya di sekitar rumah berkenaan dan mendapati anak bongsunya terapung dalam kolam berkenaan. 

Chang Keong berkata, hasil bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati tiada unsur jenayah dan punca kematian adalah mati lemas.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.   

Berita Harian X